HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Disember 2007

16,000 bekas penagih dadah gagal lapor diri
Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY


KUALA LUMPUR – Seramai 16,000 atau 44 peratus daripada 36,000 bekas penagih yang menamatkan tempoh tahanan dan pemulihan di pusat serenti dan penjara, gagal melaporkan diri di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah Keselamatan AADK, Dr. Sabri Zainudin Azinul berkata, situasi itu terjadi disebabkan bekas penagih berkenaan terjerumus semula menagih dadah dan sikap mereka sendiri untuk tidak menjauhkan diri dari najis dadah.

Menurutnya, bekas penagih tersebut sepatutnya melapor di pejabat AADK di kawasan masing-masing setiap minggu atau bulan supaya AADK tahu keadaan semasa mereka.

‘‘Tapi ramai yang ingkar. Walaupun angka ini sebenarnya berkurangan jika dibandingkan tahun lepas tetapi ia perlu diambil perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan perdana Persatuan Pendamai Malaysia di sini hari ini.

Persatuan Pendamai Malaysia ditubuhkan pada 19 September 2004 di Shah Alam, Selangor, memainkan peranan sebagai contoh serta penggerak kepada para penagih dadah untuk memulihkan diri dari menagih dadah.

Pada perhimpunan itu juga, seramai 472 bekas penagih turut dipilih untuk menjadi ejen yang akan memantau serta memberi nasihat kepada remaja di kawasan mereka supaya tidak terjerumus dengan penyalahgunaan dadah.

Sabri berkata, sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk memastikan tiada lagi mangsa baru yang terjerumus dengan najis dadah.

‘‘Kita mahu mereka ambil tanggungjawab. Kita mahu mereka cerita kepada remaja kesengsaraan jika menjadi hamba dadah.

‘‘Ini langkah yang diambil sebagai satu usaha memastikan jumlah penagih yang mencecah lebih 320,000 hari ini berkurangan,” ujarnya.

Tiada ulasan: