Pegawai imigresen, tentera pun mahu 'merempit' juga.
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguatkuasa Imigresen Putrajaya, seorang pegawai perhutanan dan seorang anggota tentera, adalah antara lima orang yang ditahan dalam satu operasi cegah lumba haram di Dataran Merdeka awal pagi ini.
Operasi yang bermula pukul 11 malam itu dijalankan oleh Skuad 42 Unit Trafik Kuala Lumpur, dan tamat pada pukul 6 pagi.
Ketua operasi, ASP Norhizam Bahaman berkata keduadua pegawai, yang berusia 25 tahun, ditahan kerana berlumba menggunakan kereta Proton Iswara dan Putra, dari Maju Juction, dekat Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Dataran Merdeka.
"Mereka turut membawa tiga gadis berumur antara 17 dan 19 tahun. Polis juga menjumpai gari, kondom, keris dan telefon bimbit yang mengandungi rakaman aksi lucah pegawai imigresen itu bersama seorang gadis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
"Ketika disiasat, pegawai itu enggan memberikan kerjasama, dengan memberi alasan bahawa beliau adalah pegawai tinggi, dan kononnya sedang bertugas ketika itu," tambahnya.
Norhizam berkata anggota tentera itu pula ditahan bersama dua lagi lelaki, selepas mereka didapati melakukan aksi menunggang motosikal dengan cara yang amat berbahaya.
Beliau berkata semua mereka ditahan bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara berbahaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan