HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2007

MIC akan kemuka laporan mengenai perobohan kuil.


KUALA LUMPUR: Kerajaan telahpun meminta MIC untuk terus memantau semua kuil Hindu di negara ini dan membentangkan laporan status secara berkala kepada Kabinet.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu MIC mengemukakan kepada beliau dan Kabinet senarai kuil yang mungkin perlu dirobohkan kerana pelbagai sebab.

"Memandangkan kuil merupakan perkara yang sensitif, pendekatan baru diperlukan bagi menyelesaikan isu itu dan MIC akan memikul sepenuhnya tanggungjawab itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Samy Vellu berkata beliau akan pergi ke semua negeri tidak lama lagi bagi membolehkan beliau menyediakan laporan mengenai jumlah kuil di negara ini dan masalah yang ada untuk dibentangkan kepada Kabinet.

"Mulamula sekali kami akan mengenal pasti kuil yang dibina secara haram dan menyemak statusnya. Kami ingin tahu jika ada sebarang langkah untuk meroboh atau memindahkannya," kata beliau.

Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata beliau telah meminta Ketua MIC Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan dan Exco Kerajaan Selangor Kamala Ganapathy supaya mengadakan perjumpaan membabitkan ketua kuil di negeri masing-masing.

Beliau berkata antara objektif perjumpaan seperti itu ialah untuk mengesahkan status tanah tempat kuil itu dibina; untuk melindungi rizab tanah di semua kawasan pembangunan perumahan baru dan memohon pendaftaran semua kuil.

"Apa yang lebih penting ialah tapak alternatif yang sesuai perlu diperuntukkan terlebih dahulu sebelum manamana kuil dipindahkan," katanya, sambil menambah perjumpaan di Wilayah Persekutuan dan Selangor masingmasing akan dihadiri oleh 780 dan 870 ketua kuil.

Samy Vellu berkata perjumpaan yang serupa akan dikelolakan di negeri lain, dengan tiga perjumpaan dijadual diadakan di Perak. Beliau akan mempengerusikan kesemua perjumpaan itu.

"Saya akan meneliti semua perkara yang mempunyai kaitan dengan kuil bagi memastikan tiada kuil yang dirobohkan di masa depan. Sekiranya perlu dirobohkan, tapak alternatif yang sesuai mesti dicari supaya penganut agama Hindu boleh terus bersembahyang," katanya.

Beliau berkata tiada kuil, sama ada dibina secara sah atau haram, boleh dirobohkan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan MIC. BERNAMA

Tiada ulasan: