HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Disember 2007

Kaum Iban mula tolak BN, tubuh Kelab Penyokong PAS di Sarawak.
Nyza Ayob


KUALA LUMPUR (Hrkh)- Bersesuaian dengan misinya merentasi sempadan kaum, Lajnah Perpaduan Nasional telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS Iban di rumah panjang Sungai Mulun, Batang Lupar, Sarawak baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusof, penubuhan kelab tersebut sempena lawatan kerja lajnah tersebut selama lima hari ke Sarawak baru-baru ini.

Jelasnya lagi, Kelab Penyokong PAS Iban ditubuhkan hasil usaha gigih PAS Sarawak dengan kerjasama beberapa PAS cawangan di Maludam. Hasil daripada penubuhan tersebut, sebuah jawatankuasa telah dibentuk yang mana ia diketuai oleh Akip ak Kundeng, Timbalan Pengerusi, Surau ak Nyamin dan Setiausaha, Molly ak Bungur.

Menurut Mujahid, dalam majlis yang sederhana di cawangan Hilir, selaku Pengerusi, Akip ak Kundeng berjanji untuk bekerjasama dengan PAS dan akan memastikan lebih ramai kaum Iban akan menyertai Kelab Penyokong PAS.

"Beliau melahirkan keyakinannya terhadap PAS dan kecewa dengan Barisan Nasional yang telah membelakangkan masyarakat Iban dalam arus pembangunan Sarawak. Antara masalah yang dihadapi oleh masyarakat Iban ialah masalah tanah yang sekarang ini diambil alih tanpa pampasan sedangkan masyarakat Iban telah mengusahakan tanah yang terbiar sejak turun temurun.

"Tanah-tanah diambil syarikat gergasi untuk membuka jalan kepada penanaman kelapa sawit dan aktiviti lain yang menyisihkan masyarakat Iban setempat, " katanya kepada Harakahdaily.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Sarawak, Ustaz Osman Mustapha yang member jaminan kepada masyarakat Iban setempat bahawa PAS adalah parti untuk semua kaum tanpa mengira keturunan kaum, bangsa atau agama.

Sementara itu, selepas perasmian tersebut, Mujahid turut meninjau keadaan di rumah panjang Mulun dan beramah mesra dengan masyarakat di sana.

Mujahid turut menyuarakan beliau berpuas hati dengan sambutan program PAS for All setakat ini kerana mendapat respon yang baik dari semua lapisan kaum dan agama di negara ini, yang mana penubuhan Kelab Penyokong PAS Iban membuktikan PAS tidak mengabaikan nasib kaum lain di negara ini.

Bagaimanapun Mujahid melahirkan kekecewaanya apabila melihat keadaan di beberapa rumah panjang yang seolah-olah tidak dipedulikan wakil rakyat kawasan berkenaan.
Jelasnya walaupun sudah merdeka jalan dan keperluan infrastruktur di beberapa kawasan rumah panjang Dun Lingga agak daif dan masih seperti tahun 60-an.

"Jalan masuk yang tidak diturap serta bergantung kepada generator untuk menggunakan elektrik, begitu juga kemudahan lain yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan yang memerintah.

"Keadaan ini menjadikan masyarakat Iban dilihat sebagai tersisih oleh arus pembangunan yang dibawa oleh BN,"katanya.

Sehubungan itu jelas Mujahid, PAS berjanji untuk memastikan rumah panjang tersebut diberi kemudahan asas sebagai komitmen PAS memastikan masyarakat rumah panjang tidak terpisah dengan kemudahan asas yang sepatutnya disediakan oleh parti pemerintah.

Usaha gigih PAS cawangan Kampung Lingga, katanya telah melahirkan hubungan yang mesra antara PAS dan masyarakat Iban setempat.

Dalam perkembangan lain, satu memorandum telah diserahkan kepada Pesuruhjaya Sarawak untuk memohon kepada Majlis Agama Sarawak satu tanah perkuburan baru di kampung Lingga.

Aduan itu dibuat oleh PAS Lingga yang kesal permohonan kepada wakil rakyat kawasan tersebut tidak dihiraukan walaupun sudah memohon beberapa kali.

Memorandum tersebut menyatakan tanah perkuburan yang sedia ada sudah tidak dapat menampung lagi kerana kedudukannya di tepi sungai kadang-kadang menyukarkan urusan jenazah kerana tidak cukup ruang.

Malahan air juga masuk ke dalam lubang galian kerana terpaksa menanam jenazah di tebing sungai. - mr

Tiada ulasan: