HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Disember 2007

Umno telanjangkan Melayu untuk lawan Hindraf – Salahuddin
Zaili Muhammad


MELAKA (Hrkh) - Tindakan Umno yang sanggup menelanjangkan atau mendedahkan keaiban bangsa Melayu sebagai perisai untuk mempertahankan diri setelah tersepit dengan isu Hindraf telah menzahirkan sifat munafik pada diri mereka.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, apabila mereka tersepit di asak kumpulan Hindraf, mereka gunakan kemiskinan orang Melayu sebagai perisai untuk menyelamatkan diri mereka yang munafik pada bangsa sendiri.

"Ini kerja Umno! dia sanggup menelajangkan keaiban bangsa sendiri untuk mengelakkan daripada dituduh gagal melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemerintah sejak 50 tahun lalu.

"Bila terdesak sanggup melondehkan maruah bangsa sendiri, ini munafik paling akhbar dalam abad ini," kata beliau ketika berceramah di Serkam Darat, Jasin, di sini.

Beliau berkata, baru-baru ini satu seminar yang dianjurkan oleh United Nation Development Program (UNDP) iaitu program pembangunan oleh PBB dan Universiti Malaya dalam kertas-kerjanya telah menyatakan tentang kaum yang paling miskin ialah kaum bumiputera di Sabah, Sarawak dan orang Melayu di negeri pantai timur Kelantan dan Terengganu.

"Saya bawa hujah ini ke dalam parlimen, tiada seorang pun yang berani bangun untuk lawan hujah ini, apa Umno dah buat untuk bantu orang Melayu selama 50 tahun memerintah malah orang Melayu disogokkan dengan pelbagai janji kerana pengundi Melayu adalah simpanan tetap Umno.

"50 tahun merdeka Melayu makin jauh mundur tertinggal dari segi pemilikan ekonomi, ini fakta dan saya bersumpah! saya akan bercakap dalam dan luar parlimen lawan mereka bukan dengan hujah kita tapi dengan hujah mereka.

"Saya akan guna senjata dan peluru mereka, saya akan bunuh mereka dengan senjata mereka sendiri," katanya sambil disambut dengan laungan takbir.

Di samping itu, beliau tidak menafikan bahawa PAS juga mempunyai hujahnya tersendiri tetapi beliau menyimpannya dulu buat sementara ini dan akan menggunakannya apabila ia perlu kelak.

"Umno guna polis nak ugut kami, guna polis tangkap kami, halang ceramah kami, ini tindakan pengecut, bacul dan tidak bertamadun, mereka hilang pertimbangan mereka tidak boleh jawab hujah lalu mereka guna ISA.

"Saya dan rakan-rakan akan tuntut sehingga wujudnya perhimpunan aman dalam negara kita walau terpaksa membayar dengan harga yang mahal, kita tidakkan berganjak kerana ada dalam perlembagaan negara dan kita akan tetap perjuangkan," kata beliau.

Seterusnya, beliau mengajak orang Melayu mengajar Umno pada kali ini dengan mengundi pembangkang kerana bangsa lain telah mengajar Umno dengan kuasa undi mereka dan sekarang tibalah giliran orang Melayu pula untuk mengajar Umno. - mns

Tiada ulasan: