HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Disember 2007

Bebaskan pimpinan Hindraf atau dakwa mereka di mahkamah – Sivarasa
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Sivarasa Rasiah mengecam penangkapan dan penahanan lima rakyat Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.

Akhbar The Star Online telah melaporkan bahawa perintah penahanan mereka telah ditandatangani oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menahan mereka sehingga dua tahun di bawah Seksyen 8 ISA, kata Sivarasa.

"Jika kerajaan mempunyai apa-apa bukti perbuatan jenayah oleh lima orang ini, langkah yang sepatutnya adalah untuk mendakwa mereka di makhamah terbuka," katanya dalam satu kenyataannya berhubung isu tersebut.

Tindakan menahan seorang rakyat sehingga dua tahun atas tuduhan menjejaskan keselamatan negara yang tidak jelas dan tidak terbukti tiada tempatnya dalam sebarang masyarakat bertamadun, katanya.

"Kita mesti sedia menangani isu-isu sebegini melalui proses undang-undang yang telus. Setiap rakyat mempunyai hak asasi untuk perbicaraan awam," katanya.

KeADILan telah menuntut secara konsisten untuk memansuhkan ISA yang merupakan sebuah undang-undang zalim yang menjadikan dakwaan bahawa Malaysia adalah suatu negara berdemokrasi tulen hanya kenyataan kosong, katanya.

Perdana Menteri pernah mengancam untuk menggunakan ISA untuk menjamin 'kestabilan negara' dan bagi KeADILan beliau tidak sedar bahawa pengunaan undang-undang zalim ISA dalam cara ini hanya akan mengeruhkan lagi ketegangan dalam negara, katanya.

Ia akan menjauhkan lagi perpaduan nasional sejati, katanya.

Pembenaran penahanan ini oleh Perdana Menteri akan menimbulkan soalan-soalan mengenai motif sebenar Barisan Nasional dalam menggunakan undang-undang ini, katanya.

"Kami menjangka bahawa Perdana Menteri akan mengulangi lagi kenyataan-kenyataan beliau mengenai risikan polis atas niat mengganas yang terancang," katanya.

"Kami mengambil perhatian bahawa dalam tahun 2001, Ketua Polis Negara membuat tuduhan liar terhadap beberapa pemimpin KeADILan mengenai niat mengganas sebelum menahan mereka di bawah ISA," ujarnya.

Semasa pertikaian makhamah terhadap tahanan tersebut, polis gagal sama sekali untuk membuktikan sebarang daripada tuduhan tersebut, katanya.

Justeru Naib Presiden KeADILan itu mengulangi pendirian supaya kerajaan membebaskan lima indvidu tersebut atau mendakwa mereka dengan segera di mahkamah terbuka.

Tiada ulasan: