HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Disember 2007

Padi Malaysia masih bermutu rendah


KUALA LUMPUR: Kualiti padi keluaran negara masih di tahap rendah berbanding padi import, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim hari ini.

Beliau berkata ekoran daripada itu, kementerian belum lagi bercadang untuk mengurangkan kadar potongan harga padi kepada petani sebagai satu kesedaran kepada mereka betapa penting menjaga kualiti pengeluaran.

"Ini disebabkan kebanyakan petani sekarang langsung tidak mengambil berat mengenai kualiti keluaran padi mereka dengan memotong padi muda serta padi yang dipenuhi dengan batu," katanya semasa menjawab soalan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata walaupun potongan tidak dikurangkan daripada 17 peratus kepada 10 peratus sebagaimana yang diminta tetapi kementerian telah menaikkan harga padi kepada RM650 setan baru-baru ini.

Mengenai pendapatan per kapita petani bagi tahun 2006 pula, beliau berkata penternak unggas memperolehi RM44,524.00 setahun, pemungut sarang burung RM135,252, pertanian campuran RM44,094 dan pertanian pisang RN22,853.

Sementara pendapatan per kapita sektor perikanan pula ialah antara RM12,000 hingga RM20,000 setahun dan penanaman padi purata RM13,503 setahun.

Beliau berkata laporan adalah berdasarkan kepada jenis produk bukan mengikut negeri. BERNAMA

Tiada ulasan: