HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2007

"Reformasi pilihanraya gagal jika Rashid kekal" PKR
Oleh Wartawan KLpos.com


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan keputusan kerajaan menyambung perkhidmatan Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kata Ketua Penerangannya Tian Chua. Abdul Rashid sepatutnya bersara wajib pada 31 Disember apabila umurnya mencapai 65 tahun. Pada 12 Disember, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 bagi melanjutkan umur persaraan anggota SPR dari 65 ke 66 tahun.

Menurut Tian Chua, kenyataan Abdul Rashid dalam akhabr The Star semalam mengesahkan bahawa perkhidmatan beliau disambung untuk tempoh setahun lagi.

"Tindakan tergesa-gesa Abdul Rashid umumkan penyambungan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR menambah keraguan kami. Jelasnya kerajaan BN mempercepatkan prosidur untuk hanya kepentingan seorang pegawai kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya lagi, kenyataan Abdul Rashid juga membuktikan pindaan perlembagaan tersebut memang bertujuan mengekalkan Abdul Rashid dalam SPR agar penyelewengan dan penipuan pilihanraya diteruskan. Reformasi sistem pilihanraya tidak akan berjaya selagi Abdul Rashid kekal sebagai pengerusi.

"Kes Likas di Sabah dan Lunas di Kedah adalah bukti-bukti kukuh yang menunjukkan Abdul Rashid gagal sama sekali dalam menjaminkan sistem pilihanraya yang adil dan telus," ujar beliau.

Baru-baru ini, seramai 8436 pengundi baru dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur dan manakala kes 17 pengundi didapati berkongsi satu alamat yang sama di Sekinjang pula menjelaskan senarai pengundi masih tidak bersih sehingga hari ini.

PKR, kata Tian Chua, tetap mendesak agar Abdul Rashid dihentikan jawatan atas kegagalan beliau memastikan satu sistem pilihanraya yang adil, dan bukan mendakwa yang dia kekal sebagai pengerusi SPR sewenang-wenangnya.

"Kenyataan ini telah dibuat sebaik sahaja Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 yang membolehkan umur persaraan anggota SPR diluluskan di Dewan Negara pada 24 Disember. Kami difahamkan Yang Di Pertuan Agong baru sahaja menandatangani pindaan tersebut pada 26 Disember,"

"Menurut Perkara 114 (1), Pengerusi dan anggota SPR dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Seseorang itu sah menjadi Pengerusi SPR hanya setelah diumumkan secara rasmi perlantikannya oleh Agong. Dengan pindaan Perlembagaan kini, Rashid disambungkan secara otomatik," kata beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Semasa penubuhannya Suruhanjaya Pilihan Raya dianggotai oleh seorang Pengerusi dan 2 orang Ahli.

Pengerusi pertama SPR adalah Datuk Dr. Mustafa Albakri bin Haji Hassan.
Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, bilangan Ahli Suruhanjaya ditambah kepada 3 orang. Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara bergilir.

Pada tahun 1981, pindaan ke atas Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi membolehkan pelantikan seorang Timbalan Pengerusi. Abdul Rahman bin Abu Hassan merupakan orang pertama mengisi jawatan Timbalan Pengerusi.

Pada tahun 2002, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diluluskan bagi menambah keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya menjadi 7 orang iaitu Seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 5 orang Ahli termasuk seorang ahli dari Sabah dan seorang ahli dari Sarawak.

Tiada ulasan: