HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2007

Tiada perkembangan terbaru dalam siasatan kes bunuh Nurin.



KUALA LUMPUR: Polis tidak pernah mengabaikan kes pembunuhan kejam Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang berlaku September lepas walaupun setakat ini tiada perkembangan terbaru mengenai siasatan kes itu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah berkata perkembangan kes siasatan itu dibincangkan setiap minggu oleh polis Kuala Lumpur dan Selangor.

"Polis sentiasa mencari petunjuk baru tanpa putus asa untuk menyelesaikan kes pembunuhan itu...Ia hanya menunggu masa sahaja," katanya selepas menghadiri kempen pencegahan jenayah (Rakan Cop) kawasan Jinjang anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil bahawa sehingga kini polis masih gagal memberi jawapan yang memuaskan dalam memberkas penjenayah yang membunuh anaknya berusia lapan tahun itu.

Ku berkata siasatan polis terhadap kes itu hanya menemui jalan buntu sekiranya ada pihak yang masih memberi maklumat yang tidak sahih.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mereka dalam siasatan kes itu khususnya saksi yang mungkin melihat suspek yang dikatakan membawa beg sukan mayat kanakkanak tersebut.

Nurin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, di sini, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Wira Abu Seman Yusop yang hadir merasmikan majlis tersebut berkata lebih 180,000 orang telah mendaftar sebagai Rakan Cop tahun ini.

Rakan Cop adalah sebuah program yang diperkenalkan polis pada Ogos 2004 bertujuan melibatkan masyarakat umum dalam usaha mencegah kegiatan jenayah di negara ini. BERNAMA

Tiada ulasan: