Keselamatan dan kebebasan: Betulkan kita merdeka ?
Oleh John Lee
Those who would give up essential liberty to purchase a little temporary safety, deserve neither liberty nor safety. - Benjamin Franklin
(Mereka yang menyerahkan kebebasan penting demi sedikit keselamatan sementara tidak patut mempunyai kebebasan mahupun keselamatan. - Benjamin Franklin)
Semenjak Hari Merdeka pertama kita pada tahun 1957, kerajaan kita telah tegak menekan bahawa demi keselamatan kita, kita mesti mengorbankan sedikit kebebasan.
Undang-undang kita telah digubah berdasarkan falsafah ini - bahawa keselamatan lebih mustahak daripada kebebasan.
Pada paling asasnya, sukar menafikan hakikat ini. Seorang yang bebas mesti bebas daripada ketakutan dia akan hilang nyawanya jika dia menggunakan kebebasannya.
Kebebasan bersuara tiada guna kalau saya boleh membunuh awak oleh kerana awak menyinggung perasaan saya, seperti di Filipinas, yang antara negara-negara paling bahaya untuk wartawan bekerja.
Bagaimanapun, terdapat juga bahaya bahawa kita akan keterlaluan dalam arah yang bertentangan. Ada kemungkinan juga kita akan mengorbankan terlalu banyak kebebasan demi keselamatan.
Ada masa apabila kebebasan kita mesti dihadkan dengan ketat - masa berperang, contohnya. Pada Hari Merdeka lebih daripada 50 tahun dahulu, kita masih berperang dengan Parti Komunis Malaya. Wajarlah kita, sebagai contoh, memanjangkan masa yang polis dibenarkan untuk menahan seseorang, ataupun menguatkuasakan had pada perhimpunan orang ramai.
Tetapi sekarang PKM sudah lenyap. Keadaan darurat yang diisytiharkan sudah tamat - kita semua tahu tiada komunis yang mahu membunuh petani, atau mengebom konvoi polis.
Namun ini, semua sekatan yang dikenakan pada masa perang masih kekal. Kebanyakan mereka telah dikembang sehingga, contohnya, di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri, ataupun Internal Security Act) sesiapa pun boleh ditahan untuk selama-lamanya, tanpa apa-apa perbicaraan di mahkamah.
Terdapat juga undang-undang yang pada asalnya sementara sahaja, tetapi dibuat tetap. Lagi sekali, ISA merupakan satu contoh - Tun Abdul Razak meminta Parlimen membuat ISA tetap (dahulu ia perlu diperbaharui setiap tahun), untuk membantu dalam perjuangan menentang PKM. Beliau berjanji akan datang masa apabila undang ini tidak diperlukan lagi - tetapi sehingga hari ini, ISA masih ada!
Sekarang kerajaan memberi kita amaran bahawa kalau kita diberi terlalu banyak kebebasan, akan terjadi huru-hara oleh kerana isu-isu seperti kaum dan agama. Peristiwa Mei 13 sering dibawa naik sebagai satu contoh.
Untuk memahami mentaliti ini, tengoklah satu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Johnson Tan Han Seng lawan Pendakwa Awam (Johnson Tan Han Seng v. Public Prosecutor). Menurut Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim dan Raja Azlan Shah - dua hakim yang paling termasyhur di negara kita - keadaan darurat yang diisytiharkan selepas Mei 13 1969 masih kekal dalam tahun 1977. Oleh kerana Parlimen belum mengiisytiharkan keadaan darurat ini tamat, sehingga hari ini, Malaysia dalam keadaan darurat sebagai rasmi!
Inilah betapa Mei 13 telah menakutkan kita - sehingga kita begitu ghairah menyerahkan hak-hak paling asa kita, semua kerana satu peristiwa! Negara-negara lain yang terdiri daripada pelbagai kaum telah ditimpa peristiwa-peristiwa yang serupa - Australia dan Perancis antaranya - tetapi mereka tidak dihantui peristiwa-peristiwa itu selama-lamanya. Rakyat biasa memahami pengajaran peristiwa-peristiwa ini - mereka bukan bodoh.
Sebagai bukti, semenjak peristiwa Mei 13, siapa membuat ancaman ganasan yang realistik oleh kerana isu kaum atau agama? UMNO. Hampir tiap-tiap tahun, datanglah Majlis Agung UMNO, sesiapa pun boleh dengar pemimpin-pemimpin UMNO mengancam melimpahi darah rakyat Malaysia kalau permintaan mereka ditolak. UMNO - parti yang pada masa yang sama, berjanji kerajaannya akan menjaga ketenteraman!
Dan bagaimana rakyat Malaysia bertindak balas? Adakah orang Melayu membuat huru-hara dan melambai keris? Adakah antara kaum Cina dan India yang pergi kacau orang Melayu? Tiada satu pun. Fikirlah sekejap. Adakah anda sanggup mencederakan, mahupun membunuh, seorang daripada kaum yang lain jika orang tersebut tidak mengancam anda? Jika anda nampak satu rusuhan kaum, inginkah anda menyertainya dan membunuh rakyat Malaysia daripada kaum lain? Tidak.
Patutkah kita membenarkan ancaman segelintir orang itu membuat kita mengorbankan hak-hak kita? Saya katakan tidak. Dalam mana-mana masyarakat, selalu terdapat mereka yang akan membuat kacau - kalau bukan oleh kaum atau agama, oleh kerana hal yang lain. Kalau kita begitu takut perbuatan segelintir orang sahaja, lebih baik kita semua mengelak pergi luar rumah kita.
Apakah sebab kita berjuang demi merdeka? Kerana kita mahu kebebasan - kebebasan untuk menentukan masa hadapan kita dan membuat keputusan kita sendiri. Tetapi siapa memberi kita lebih kebebasan - British atau Barisan Nasional? Apabila British menubuhkan Malayan Union, beribu-ribu rakyat Malaya berhimpun untuk membantah. Hari ini, apabila beribu-ribu rakyat Malaysia merdeka berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang lebih adil, mereka disembur dengan kimia-kimia bahaya dan disuruh berambus.
Keselamatan rakyat penting. Ini mustahil dinafikan. Tetapi apabila kita sering mengorbankan hak-hak mustahak kita untuk keselamatan, dan menerima keganasan daripada kerajaan kita - suatu kerajaan yang enggan memberi kita kebebasan yang kita diberi oleh kolonialis pun - tanyalah diri: telah kita mengorbankan terlalu banyak kebebasan, demi terlalu sedikit keselamatan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan