HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Disember 2007

Sejahteralah Wahai Abdullah Badawi
Perintah Malaysia Satu Penggal Lagi!
Oleh : Ruhanie Ahmad


Sejahteralah dikau wahai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sejahteralah hendaknya dikau yang sudah pun mengumumkan bukan mahu jadi Perdana Menteri sepenggal cuma.

Sejahteralah dikau wahai Abdullah kerana kesemua musuh sudah ditahan dan ditangkap, dari seorang anak remaja, kepada seorang penoreh getah, hinggalah kepada majoriti pemimpin pembangkang yang besar dan kecil pangkat dan kedudukannya dalam parti masing-masing.

Sejahteralah dikau wahai Abdullah kerana kesemuanya adalah musuh-musuh yang dikau sifatkan sebagai bertindak mahu menghalang kekuasaanmu di bumi tercinta ini buat sekian lagi lamanya.

Bagaimanapun, satu persoalan khusus di kala dikau dalam keadaan bergembira. Mengapakah dan kenapakah dikau wahai Abdullah, lepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tangkapan di Lapangan Terbang KLIA pagi tadi?

Kenapa hanya ditahan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di dalam kereta dan kemudiannya diizinkan beliau pulang ke rumah, katanya atas tahanan rumah, atau house arrest?

Adakah dikau khuatir dan bimbang tahanan ke atas Anwar akan mencetuskan satu gelombang penentangan yang hebat, galak dan menyemarak di seluruh negara?

Apa yang anda takutkan? Tahanlah Anwar dan ramai lagi pembesar pembangkang. Tangkaplah mereka beramai-ramai, biar suasana politik negara jadi lebih meriah dan anda juga tambah sejahtera. Tindakan seperti ini barulah sesuai dengan kata-kata anda sendiri: “saya pantang dicabar”!

Dan, sebelum dikau meneruskan tangkapan demi tangkapan seterusnya, (mungkin tidak lama lagi termasuk tangkapan ke atas blogger seperti saya), harap-harap dikau sudilah bertanya kepada diri anda sendiri dengan jujur dan ikhlas. Tanyalah diri sendiri dengan persoalan ini: adakah politik negara ini jadi kelam-kabut dan kucar-kacir seperti sekarang jika dikau kuat dan tidak pincang dalam menguruskan negara tercinta ini?

Fikir-fikirkanlah. Tidakkah segala-galanya berpunca daripada diri dikau sendiri yang lemah dalam melaksanakan mandat rakyat jelata untuk mentadbir negara? Fikir-fikirkanlah dengan sebaik-baiknya!

[Posting ini didedikasikan khas kepada mereka yang ditahan (melainkan pihak Hindraf) pada hari ini, semalam dan sebelumnya. Semoga anda semua sentiasa dalam peliharaan Allah SWT.]

Tiada ulasan: