5 ribu Peneroka Felcra Nasaruddin bantah bina pembahagi jalan.
Johari Jaafar.
PARIT (Hrkh) - Kira-kira lima ribu peneroka Felcra Nasaruddin, Bota membantah tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membina pembahagi jalan di persimpangan yang masuk ke Felcra tersebut kerana ianya menyusahkan penduduk untuk keluar.
Pembahagi jalan tersebut dibina apabila pihak JKR membina jalan baru dua lorong dari Ipoh ke Lumut menyebabkan penduduk yang hendak menggunakan jalan tersebut ke arah Ipoh terpaksa berpatah ke belakang ke arah Bota sejauh 2 kilometer kemudiannya membuat pusingan untuk meenggunakan jalan yang menghala ke Ipoh.
"Jalan Felcra Nararuddin sudah lama dibina, kenapa pihak JKR tidak mengambil kira kesusahan penduduk di sini untuk keluar dari sini," ujar Rose Mat Jidin.
"Sepatutnya di persimpangan jalan ke Felcra ini dibuatkan lampu isyarat dan pembahagi jalan itu tidak perlu dibina,"katanya lagi.
Menurut beliau apabila pembahagi jalan itu dibina penduduk di sekitar ini tidak boleh hendak masuk ke jalan yang menghala ke Ipoh dan mereka terpaksa menggunakan jalan yang menghala ke Lumut sejauh 2 kilometer kemudian baru boleh membuat pusingan untuk mengambil jalan ke arah Ipoh.
"Pejabat Daerah Perak Tengah hanya beberapa kilometer sahaja tetapi jika hendak ke situ pengguna terpaksa berpatah belekang ke arah Lumut kemudian memasuki jalan ke arah Lumut untuk pergi ke pejabat berkenaan," tambahnya.
Seorang lagi peneroka Felcra Nasaruddin, Assanuddin Aziz, turut kesal dengan tindakan JKR yang membina pembahagi jalan di simpang jalan masuk ke Felcra tersebut tanpa membuat kajian yang mendalam dan teliti.
"Jalan masuk ke simpang ke Felcra ini sudah lama dibina, sepatutnya JKR mengambil kira kesulitan penduduk di sini apabilka pembahagi jalan itu dibina, ia menyusahkan kami terutama untuk menghantar anak ke sekolah," jelasnya.
Sehubungan dengan itu mereka berharap JKR sedia mendengar keluhan penduduk di sini dan sedia membina lampu isyarat di persimpangan jalan ke Felcra bagi memudahkan orang ramai menggunakannya. - mr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan