HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2007

Mangsa banjir 'malukan' Ketua Kampung Umno
Basiron Abdul Wahab


KUANTAN (Hrkh) - Mangsa banjir baru-baru ini 'memalukan' Ketua Kampung apabila mereka beramai-ramai menerima juadah hari raya (rendang) yang dibawa Pasukan Amal diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi di Pusat Perpindahan banjir Kg Ubai, Kuantan.

Menurut Nasruddin, beliau bersama rombongan Yayasan Amal dalam rangka lawatan ke pusat itu untuk menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di pusat perpindahan banjir antara yang dibawa termasuk daging korban yang telah dimasak (rendang).

"Hasrat kami untuk menjamu mangsa banjir dengan 'rendang daging' korban itu dihalang Ketua Kampung yang meminta kami meletakkan makanan itu di dalam stor, kami tidak bersetuju kerana daging yang sudah masak itu mungkin tidak boleh disimpan lama.

"Akhirnya pihak berkenaan tidak membenarkan makanan yang kami bawa itu diberi atau disimpan di dalam stor kerana bimbang keracunan makanan. Kami rasa terhina kerana makanan yang kami bawa itu masih baru dan panas lagi, ia selamat untuk dimakan," ujarnya.

Menurut Nasruddin ekoran tidak mendapat kebenaran ketua kampung kami memutuskan untuk menghantar sendiri makanan yang kami bawa terus kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat itu.

Bagaimanapun tambah beliau, perbincangan kami dengan pihak Ketua Kampung didengar oleh mangsa banjir, mereka beramai-ramai keluar daripada bangunan pusat perpindahan meminta rendang yang kami bawa diberikan kepada mereka.

"Tindakan mangsa banjir itu menyebabkan ketua kampung dan pengikutnya menghilangkan diri dicelah-celah orang ramai, mungkin kerana malu," katanya.

Difaham semua pusat perpindahan mangsa banjir dikendalikan oleh Jawatan kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dimonopoli sepenuhnya oleh Umno.

"Saya percaya tindakan yang diambil oleh ketua kampung itu adalah tindakan politik bertujuan untuk menghalang mangsa banjir mengetahui selain mereka, ada orang terbabit membantu mangsa banjir,"ujarnya lagi.

Difahamkan Unit Amal Pahang membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi membantu meringankan mangsa banjir di negeri itu. Selain memberi bantuan kemanusiaan seperti membersihkan rumah, masjid sekolah dan sebagainya, Amal juga turut memberi bantuan berupa makanan seperti beras, susu dan sebagainya.

Selain itu beberapa keperluan lain seperti lampin pakai buang, tuala wanita turut disumbangkan kepada mangsa banjir.

Nasruddin dan rombongannya turut melawat Maran, Temerloh, Pekan dan Bera.

Di Pekan, Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, di sebalik perhatian istimewa Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kepada mangsa banjir di Pekan terdapat beberapa perkara yang menimbulkan persoalan.

Antaranya, rungutan mangsa banjir tentang kekurangan barang makanan di sesetengah pusat perpindahan banjir.

Katanya, beliau difahamkan barangan makanan akan banyak di pusat perpindahan banjir yang akan dilawati oleh Timbalan Perdana Menteri tetapi berkurangan di pusat-pusat perpindahan banjir lain yang tidak disinggahinya.

Ini menimbulkan persoalan terhadap cara pengagihan barangan yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Kedua, penggunaan kapal terbang tentera yang menggugurkan barangan di atas padang menyebabkan barangan menjadi rosak.

"Kenapa mereka menggunakan kapal terbang tidak helikopter yang boleh mengangkut barang dan mendarat dimana-mana padang dengan selamat," ujarnya.

Beliau percaya tindakan menggunakan kapal terbang hanyalah untuk gimik semata-mata bagi menunjukkan keperihatinan ahli perlimen Pekan membantu mangsa banjir tetapi hakikatnya penggunaan kapal terbang adalah suatu tindakan membazir berbanding helikoper.

Tambah beliau, perkara sama juga dilakukan iaitu meletupkan apa yang dikatakan pulau di muara sungai Pahang.

"Saya berpendapat tindakan meletupkan 'pulau pasir' tidak banyak membantu mengurangkan banjir kerana letupan itu tidak mampu memusnahkan pulau pasir kerana sifat pasir itu sendiri.

"Idea meletupkan pulau pasir itu adalah idea spontan tanpa kajian pakar, ia hanya merugikan wang rakyat.

"Pulau pasir sukar dimusnahkan dengan bahan letupan kerana pasir adalah bahan kebal yang diguna untuk membina kubu dalam peperangan," katanya. - mks.

Tiada ulasan: