HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Disember 2007

Cukai Tanah RM1 Untuk SJKC dan SJKT.


KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengenakan cukai tanah hanya sebanyak RM1 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta menghapuskira semua tunggakan cukai tanah yang belum lagi dibayar berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata pemegang amanah atau pentadbiran sekolah berkenaan perlu terlebih dahulu memohon kepada kerajaan melalui Pejabat Tanah dan Daerah untuk menikmati pelepasan itu.

Peraturan baru ini akan melibatkan lebih 200 buah SJK Cina dan Tamil di seluruh Selangor di samping tunggakan cukai tanah bernilai RM400,000, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata cukai tanah yang dikenakan itu berbeza mengikut pihak berkuasa tempatan dan secara purata sesebuah sekolah jenis kebangsaan perlu membayar cukai tanah antara RM5,000 dan RM10,000 setahun.

Ada di antara sekolah berkenaan mempunyai tunggakan cukai tanah sehingga RM70,000, katanya.

"Untuk pendidikan kita beri kelonggaran. Kerajaan negeri mahu melihat sekolah ini diurus dengan baik dan tidak dibebani dengan bayaran cukai tanah. Oleh itu, pihak sekolah diharap dapat menumpukan perhatian kepada pendidikan dan kualiti pembelajaran pelajar," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar cukai RM1 itu dikenakan memandangkan Exco Kerajaan Negeri hanya berkuasa untuk mengurangkan kadar cukai dan bukan menghapuskannya.

Katanya perkara itu dibincangkan di peringkat majlis mesyuarat negeri selepas dibawa oleh Barisan Nasional, bukannya dibawa oleh pembangkang terutamanya DAP.

Mengenai persiapan banjir di Selangor, Dr Mohamad Khir berkata kerajaan negeri telahpun mengarahkan Jabatan Parit dan Saliran supaya memeriksa kolam takungan di kawasan perumahan supaya berfungsi terutamanya di kawasan berhampiran pantai.

Katanya mereka juga dikehendaki memantau sungai dan saliran lain supaya tidak tersumbat selain memastikan pam air yang ditempatkan di tepi sungai tertentu berfungsi dengan baik.

Ini penting bagi menghadapi kemungkinan air laut yang masuk ke dalam sungai di musim tengkujuh ini dapat dikawal daripada melimpahi kawasan yang lebih rendah, katanya.

Beliau berkata kerajaan Selangor yang telah lama merancang persediaan bagi menghadapi banjir, membelanjakan sejumlah RM20 juta tahun lepas untuk tujuan itu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: