Kenyataan Media Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang
Oleh: Anwar Ibrahim
Sehingga hari ini kerajaan belum memberikan sebarang penjelasan tentang status Zon Bebas Pelabuhan Klang dan bertanggungjawab di atas pertambahan kos yang berjumlah RM 3.5 bilion. Untuk menutup kerugian projek yang gagal ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pinjaman berjumlah sehingga RM4.681 bilion bermula dari tarikh yang lebih awal.
Kes ini merupakan salah satu daripada begitu banyak contoh yang mendedahkan percanggahan kepentingan, rasuah dan salahtadbir melibatkan ahli politik, tokoh korporat dan pegawai kerajaan. Meskipun Perdana Menteri dan Kabinet sudahpun mengeluarkan arahan, Ketua Setiausaha Negara masih lagi tidak memberi penjelasan yang mencukupi. Tidak ada seorang pun yang telah dipertanggungjawabkan untuk skandal ini.
Meskipun aspek kewangan projek ini sukar diselamatkan, sebuah audit yang bebas dan telus akan memastikan pihak yang mencabuli amanah di dalam kes ini dipertanggungjawabkan dan memulihkan kredibiliti Kementerian Pengangkutan.
Pengambilan Tanah
Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 1000 ekar tanah Pulau Indah dari Kuala Dimensi Sdn. Berhad pada harga RM25 sekaki persegi untuk sejumlah RM1.8 billion (termasuk faedah). Kuala Dimensi membuat keuntungan sebanyak RM993 juta kerana ia telah membelinya dari Koperasi Kemajuan Pulau Lumut dengan harga RM95 juta (pada RM3 sekaki persegi) sahaja. Urusniaga yang cukup lumayan ini melibatkan pimpinan UMNO dan MCA termasuk Pengerusi Tetap UMNO sekarang, Tan Sri Dato Seri Haji Onn Ismail; Bendahari UMNO, Dato Seri Azim bin Mohamed Zabidi; Dato Chor Chee Heung daripada MCA yang merupakan Pengerusi LPK dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri; dan Dato Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen BN untuk Bintulu serta rakan-rakan mereka.
Jelas sekali pihak utama yang rugi dari penjualan tanah ini ialah ahli Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd. Justeru, janji politik untuk memelihara orang miskin dan membantu orang Melayu tidak kesampaian dan sebagai gantinya kelompok kecil yang rapat dengan kerajaan terus mengumpul kekayaan.
Amat aneh sekali Menteri Pengangkutan pada waktu itu menolak pandangan Peguam Negara bahawa tanah tersebut boleh diambil untuk “tujuan awam” di bawah Akta Pengambilan tanah pada harga RM10 sekaki persegi. Sebaliknya Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang memilih pembelian tanah tersebut dengan cara biasa pada harga RM25 sekaki persegi. Kini telah diketahui bahawa persetujuan ini dicapai pada tahun 2002 antara Kementerian Pengangkutan, LPK dan Kuala Dimensi tanpa kelulusan Pembedaharaan ataupun Kabinet.
Pemberian Kontrak
Saya merasakan agak aneh bahawa LPK melantik Kuala Dimensi Sdn. Bhd., pihak yang menjual tanah tersebut, sebagai kontraktor turnkey tunggal untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang menerusi Perjanjian Pembangunan Tanah bertarikh 27 Februari 2003. Kuala Dimensi Sdn. Bhd. Kemudian melantik Wijaya Baru Sdn. Bhd. Sebagai subkontraktor utama. Syarikat ini sama ada dimiliki atau dikuasai Dato’ Seri Tiong King Sing dan Dato’ Abdul Azim bin Mohd Zabidi sebagai Pengarah Kuala Dimensi Sdn. Bhd.
Nyata sekali wujud ketidaktelusan di dalam prosedur pemberian kontrak oleh LPK dan Kementerian Pengangkutan.
Kesalahan Besar Prosedur Kewangan dan Salahguna Kuasa
Di dalam rekod awam telah dinyatakan bahawa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik, memberi jaminan kepada kerajaan bahawa projek Zon Bebas Pelabuhan Klang ini mampu berjaya, akan mempunyai pembiayaan sendiri dan tidak memerlukan dana kerajaan. Kalau begitu mengapa timbul keperluan memberikan “pinjaman mudah” bernilai RM4.6 bilion kepada LPK? Bukankah ini satu lagi bukti kemelut yang melanda pentadbiran hari ini?
Menteri Pengangkutan merasakan wajar untuk memberikan empat (4) “Surat Sokongan” untuk pengatur utama pengisuan bon. Tun Dr. Ling Liong Sik mengeluarkan satu surat bertarikh 28 Mei 2003 dan tiga lagi dikeluarkan oleh Menteri kini, Datuk Seri Chan Kong Choy bertarikh 23 April 2004, 8 Disember 2005 dan 23 Mei 2006.
Surat-surat ini memberikan komitmen Kerajaan sebagai penjamin untuk apa-apa liabiliti yang dipikul oleh LPK untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang. Telah terbukti bahawa surat-surat ini merupakan jaminan kerana ia mengandungi perkataan yang bermaksud “kami akan pada setiap masa di masa hadapan memastikan LPK berada di dalam kedudukan untuk memenuhi (dan memenuhinya dengan sepenuhnya pada masa yang sepatutnya) liabiliti mereka di dalam jumlah pembayaran semula selagi mana jumlah pembayaran semula masih lagi tidak dilangsaikan…”
Menurut polisi kerajaan yang biasa, Kementerian Kewangan merupakan satu-satu agensi kerajaan yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk jaminan bagi kerajaan dan ini mestilah mendapat kelulusan cabinet. Pemberian “Surat Sokongan” bercanggah dengan peraturan dan prosedur kerajaan. Ketika saya menjawat Menteri Kewangan, perkara sebegini tidak pernah dibenarkan berlaku. Apa yang lebih dasyat ialah Pembedaharaan tidak sedar tentang surat-surat ini sehinggalah mereka dimaklumkan oleh pengatur utama pada Disember 2006.
Berdasarkan keterangan di atas, wujud asas yang kukuh bahawa Tun Dr. Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy terlibat di dalam sesuatu yang tidak betul di dalam mengeluarkan surat sokongan yang mengakibatkan kerajaan terpaksa menyelamatkan LPK dengan memberikan kelebihan yang luarbiasa kepada beberapa pihak. Pihak-pihak terbabit juga disokong oleh kehadiran pimpinan UMNO di dalamnya.
Desakan Untuk Siasatan Menyeluruh dan Bebas
Saya mesti menyatakan bahawa saya terkejut dengan sikap tidak endah pentadbiran Abdullah di dalam salahtadbir projek awam dan prinsip-prinsip pentadbiran yang baik di samping kegagalan pegawai awam di dalam menguruskan projek-projek negara.
Saya, dengan ini, mendesak siasatan audit siasatan menyeluruh dan bebas oleh firma audit professional terhadap projek Zon Bebas Pelabuhan Klang. Audit ini sewajarnya menentukan tahap liabiliti kerajaan, mendedahkan kelemahan yang sedia ada di dalam sistem kawalan kewangan dan perakaunan, dan menentukan sama ada wujud bukti kesalahan kewangan, salahlaku ataupun rasuah. Saya juga mencadangkan agar kerajaan mendedahkan semua rekod berkaitan perkara ini kepada orang awam bersama laporan audit selepas ia dibentangkan di Parlimen.
Saya ingin mengulangi desakan saya sebelum ini agar sebuah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan dan juga mendesak BPR dan badan-badan berkaitan lain untuk bertindak dan menyiasat sepenuhnya skandal ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan