Bahagian Empat:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?
Dalam bahagian tiga telah saya senaraikan keanehan lima pemimpin Hindraf ditahan bawah Seksyen 8 ISA. Lantas, saya pun bertanya, mungkinkah seluruh keanehan itu tidak terjadi kalau tiada dalang di sebalik Hindraf?
Oleh itu, kalau benarlah memang wujud satu konspirasi di sebalik demonstrasi Hindraf pada 25 November 2007, maka betullah apa yang ditulis dan dinyatakan oleh Anak Jati Rembau dalam blog anti-khairy pada 4 Disember 2007. Sebab itukah tulisan itu tidak dan belum dinafikan oleh Khairy hingga ke hari ini?
Dengan tiadanya penafian, maka melesetkah kalau diakatakan bahawa Khairy adalah dalang kepada demonstrasi Hindraf? Sebab itukah tahanan ISA ke atas Uthyakumar dan empat rakannya pun hanya di bawah Seksyen 8, yang tidak melalui proses soal-siasat intensif oleh pihak polis?
Tulisan dan ramalan Anak Jati Rembau yang menyatakan bahawa selepas demonstrasi Hindraf akan ada satu pertemuan oleh NGO dan Pertubuhan Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur, juga terbukti benar. Pada 6 Disember 2007, lima NGO telah mengumpulkan kira-kira 395 NGO lain dari seluruh negara untuk menubuhkan Damai Malaysia.
Damai Malaysia
Badan berkenaan mendakwa mempunyai 1.5 juta ahli. Matlamat utamanya adalah bersepakat “untuk menolak demonstrasi politik jalanan dan mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.”
Matlamat ini merupakan satu ironi. Dan, ironinya adalah: walaupun Damai Malaysia bermatlamat “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara,” Menteri Dalam Negeri tidak pula menyifatkan Hindraf - yang pernah didakwa sebagai “berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa” dan dikaitkan dengan kumpulan pengganas “Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka” - sebagai ancaman kepada negara.
Kalau Hindraf memang merupakan ancaman kepada negara, sehingga ada pihak yang prihatin terpaksa mewujudkan Damai Malaysia, kononnya untuk “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara,” mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf hanya ditahan bawah Seksyen 8 ISA? Kenapa tidak di bawah Seksyen 73 ISA yang akan membolehkan pihak polis menyiasat mereka secara terperinci, sama ada Hindraf benar-benar ancaman kepada negara?
Rakyat Bodoh?
Soalnya, apakah yang sedang cuba dibuktikan oleh pihak yang mendalangi demonstrasi Hindraf dan pihak yang mendalangi penubuhan Damai Malaysia (kedua-duanya proksi Abdullah) kepada rakyat jelata pada ketika ini? Hendak membuktikan Abdullah serius dalam menangani soal Hindraf dan sebab itulah pemimpin-pemimpinnya ditahan bawah ISA?
Hendak membuktikan bahawa Damai Malaysia sahajalah kumpulan patriot negara dan sebab itulah matlamatnya adalah “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.”?
Hendak membuktikan bahawa rakyat jelata Malaysia jahil dan bodoh? Bukankah rakyat jelata kini dapat melihat dengan jelas bahawa demonstrasi Hindraf adalah didalangi oleh proksi Abdullah dan tangakapan para pemimpin Hindraf di bawah ISA hanya sekadar mengaburi mata rakyat daripada hakikat konspirasi yang sebenar-benarnya?
Sandiwara
Kata orang putih “what a joke?” atau “what a mockery?”. Kata orang Melayu, inilah sandiwara yang serba tempang gaya ceritanya. Apa tidaknya? Pi mai, pi mai, rakyat tetap bijak membaca bahawa demonstrasi Hindraf adalah konspirasi satu percaturan kuasa. Tidak lain dan tidak bukan, itulah hakikatnya - satu konspirasi ciptaan proksi Abdullah!
Pada 13 Disember 2007, Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia, Saudara Saiful Adil Mohd Daud, menyerahkan penyataan bersama badan itu kepada Abdullah di satu majlis ringkas di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Subang.
Mengulas mengenai penyataan bersama itu, Abdullah dilaporkan sebagai berkata bahawa pertubuhan itu “adalah suara majoriti rakyat Malaysia yang membantah demonstrasi jalanan. Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan dan kesejahteraan rakyat yang kita kena pertahankan.”
Halalkan Cara
Kenyataan Abdullah di atas sepatutnya berbunyi begini: “Damai Malaysia adalah suara minoriti rakyat Malaysia yang cuba membutakan mata majoriti rakyat jelata supaya membantah demonstrasi jalanan oleh Hindraf yang didalangi oleh proksi saya. Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka untuk memesongkan pandangan rakyat jelata dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan saya dan kesejahteraan saya yang kena saya pertahankan.”
Abdullah, seluruh kelompoknya dan juga Damai Malaysia mesti marah dengan kenyataan yang saya bina semula seperti di atas. Tetapi, itulah hakikatnya. Seluruh penghujjahan di atas membuktikan bahawa demonstrasi Hindraf adalah didalangi oleh kelompok Abdullah. Dan, penubuhan Damai Malaysia juga didalangi oleh kelompok Abdullah. Kalau Khairy dikatakan sebagai dalang kepada demonstrasi Hindraf, Reezal Merican pula dikatakan jadi dalang kepada penubuhan Damai Malaysia. Inilah tindakan “matlamat menghalalkan cara”. [Bersambung dalam bahaguan lima] – Ruhanie Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan