HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Disember 2007

"Saya akan terus bela kaum India" Samy Vellu


PUTRAJAYA: "Saya akan terus berjuang untuk kebaikan masyarakat (kaum India). Persoalan bahawa MIC (Kongres India Malaysia) kini terjejas berikutan insiden yang berlaku baru-baru ini tidak timbul," kata Datuk Seri S. Samy Vellu, pemimpin utama MIC.
Merujuk demonstrasi jalanan oleh sebahagian kaum India dan mereka yang menggelarkan diri sebagai Hindu Rights Action Force (Hindraf), beliau berkata semangat dan kekuatan MIC tidak tergugat dengan insiden-insiden berkenaan.

"Saya sentiasa bersama-sama MIC dan akan terus berdiri bersama-sama parti ini. Saya akan terus berjuang untuk masyarakat dan memastikan kaum India di negara ini terus membangun daripada segi sosial dan ekonomi," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Tetapi Presiden MIC, yang memimpin parti politik terbesar kaum India sejak 28 tahun lepas, mengingatkan kaum India bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan kekayaan negara ini mesti dikongsi bersama secara sewajarnya.

"Ini penting. Kita tidak boleh mendapat semua apa yang kita minta dan perkara sama juga berlaku kepada kaum lain. Perkongsian kekayaan ekonomi negara mesti ditangani secara sewajarnya," katanya tanpa berselindung dalam satu temu bual mengenai pelbagai isu berhubung kaum India.

Mengenai Hindraf, Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata pada awalnya kumpulan, yang mencela kerajaan, tidak meminta apa-apa bagi kaum India Malaysia tetapi lebih menjurus mengkritik pihak berkuasa dan terutamanya, Umno, parti yang menjadi tulang belakang parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

"Tetapi mereka gagal untuk menyedari hakikat bahawa memusuhi UMNO adalah sama dengan memerangi orang Melayu, kaum majoriti di negara ini. Ini bukannya pendekatan bagi melakukan perubahan untuk masyarakat (India). Kita sering bekerja bersama kerajaan, yang diterajui Umno, untuk membawa perubahan kepada masyarakat (India)," katanya.

Pertubuhan tidak didaftarkan, Hindraf pada 25 Nov lepas, yang mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur mendakwa kerajaan gagal membantu kaum India sepanjang tempoh 50 tahun lepas.

Lima orang, yang mendalangi perhimpunan haram itu, kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting atas alasan mengancam keselamatan negara.

Samy Vellu, yang sikapnya berterus terang, berkata meskipun Hindraf tidak memperlekehkan MIC ataupun pemimpin parti itu, MIC tidak sanggup mendengar dan melihat "sebarang serangan dilontarkan terhadap Umno".

"Saya tahu ada kelemahan dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian di beberapa peringkat kerajaan. Begitupun, saya terus membangkitkan isu berkaitan kaum India Malaysia.

"Sebagai menteri, saya mempunyai kelebihan mempunyai maklumat berkenaan dan apa jua yang dibincangkan di Kabinet adalah sulit dan saya tidak boleh mendedahkan maklumat tertentu kepada umum terutamanya kepada msyarakat.

"Saya secara terbuka telah melakukan kritikan membina terhadap pengambilan orang India dalam perkhidmatan sektor awam. Saya juga telah membawa perhatian Kabinet kepada kesengsaraan pekerja ladang, yang pada masa ini menikmati gaji tetap bulanan... kita di MIC telah membangkitkan pelbagai perkara kepada kerajaan kerana kita mewakili 1.8 juta kaum India di negara ini," katanya.

Berbicara tentang kuil Hindu, Menteri Kerja Raya itu berkata MIC sering menjadi "perisai" bagi kuil-kuil berkenaan walaupun sebilangan kuil berkenaan dibina secara haram.

"Bagi kuil Kampung Jawa (yang dirobohkan oleh pihak berkuasa pada Oktober kerana dibina di kawasan tanah persendirian selepas pemilik tanah memperoleh perintah mahkamah), kami melakukan yang terbaik malahan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sedaya upayanya berusaha tetapi mahkamah tetap dengan pendiriannya. Saya sendiri mengendalikan ribuan kuil. Untuk catatan, terdapat lebih 25,000 kuil Hindu di seluruh negara.

"Saya melakukan semua ini kerana saya seorang penganut kuat Hindu tetapi saya bukan seorang ekstremis Hindu. Saya tahu pada hakikatnya ekstremisme tidak mungkin mencapai apa-apa," tegas Samy Vellu.

Presiden MIC itu juga berkata bahawa beliau secara tetap "berperang" dengan kerajaan bagi mendapatkan apa yang kaum India Malaysia layak memperoleh dan beliau mempunyai bukti mengenainya.

"Mengenai sekolah Tamil, saya sendiri menguruskan perkara berhubung sekolah ini kerana saya sendiri anak seorang penoreh getah, yang tinggal di dalam estet dan saya antara orang pertama ke sekolah Tamil... Tamil bahasa ibunda saya.

"Kini anasir-anasir yang tidak tahu tentang sekolah Tamil dan masalahnya secara membuta tuli menuduh MIC tidak mempertahankan sekolah-sekolah ini. Kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi kuil-kuil setiap tahun.

"Beberapa pihak meminta akaun berkenaan wang ini. Saya hanya membuat cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) (di Jabatan Perdana Menteri) mengenai peruntukan yang diperlukan dan ia menyalurkan terus peruntukan ini.

"Orang yang tidak tahu telah bertanya mengenai apa yang terjadi dengan wang ini. Soalan saya, wang apa? Siapa yang memberi wang kepada MIC?," katanya.

Mengenai ekonomi pula, Samy Vellu berkata MIC menerusi Biro Ekonominya telah melahirkan kira-kira 50,000 ahli perniagaan kaum India, daripada peringkat peniaga kecil sehingga tauke besar.

Beliau berkata ahli perniagaan ini juga telah memohon untuk membawa pekerja daripada India dan perkara ini disuarakannya dalam Kabinet dan kelulusan diberikan untuk membawa masuk 40,000 pekerja India.

Berikutan permohonan MIC, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM40 juta untuk skim kredit mikro dan skim ini berjaya.

"Namun kita menghadapi masalah daripada segi pembayaran semula pinjaman skim ini. Begitu pun, MIC menerusi Nijhar (Tan Sri K.S. Nijhar, naib presiden MIC dan Ketua Biro Ekonomi) kini sedang mencadangkan bantuan kewangan tambahan bagi kaum India Malaysia," katanya.

Samy Vellu mendakwa "anasir-anasir tidak bertanggungjawab" mengambil kesempatan keadaan semasa untuk mengecam MIC dan pemimpin parti itu dengan menyebarkan fitnah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau mendakwa anasir sedemikianlah yang sebenarnya menggagalkan kaum India Malaysia.

"Saya sendiri telah memastikan untuk mempunyai hubungan terus dengan peringkat akar umbi... kita mesti memasang telinga dan mendengar masalah rakyat.

"Sesekali saya tidak akan meminggirkan kaum India Malaysia. Saya sentiasa akur menuruti kehendak mereka dan tiada siapa boleh menghalang saya daripada berjuang untuk masyarakat," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: