HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Disember 2007

Parti politik dan NGO ingin temujanji segera dengan PM
KeADILan


Sebanyak 16 badan bukan kerajaan dan 4 parti politik hari ini bersama-sama mengeluarkan kata sepakat menyatakan keprihatinan mereka terhadap krisis-krisis terbaru yang membelenggu negara kita, dan lantas meminta temujanji segera dengan Perdana Menteri untuk membincangkan masalah-masalah negara yang mustahak dan mendesak beliau berpegang pada janjinya untuk mendengar masalah semua rakyat Malaysia.

Begitulah yang disampaikan dalam kenyataan media mereka yang diperoleh SuaraKeadilan.com hari ini.

Parti politik yang menyokong permintaan ini ialah Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Islam se-Malaysia (PAS). Manakala badan bukan kerajaan yang turut menyokong permintaan ini terdiri daripada Centre for Independent Journalism (CIJ), Centre for Policy Initiatives, Citizen Think Tank, Civil Rights Committee (KLSCAH), Concerned Citizens Group, Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Labour Resource Centre (LRC), Malaysians Against the Death Penalty and Torture (MADPET), National Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Police Watch and Human Rights Committee, Research for Social Advancement (REFSA), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Writers Alliance for Media Independence (WAMI), dan Youth For Change (Y4C).

Kata mereka, mereka memandang serius ketegangan kaum dan agama yang melanda masyarakat kita.

“Komitmen utama kami ialah perpaduan nasional, muafakat masyarkat majmuk dan juga keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia. Kami percaya satu-satunya cara memelihara nilai-nilai tersebut ialah untuk menolak pendekatan yang memecahbelahkan masyarakat dan memelihara jaminan Perlembagaan,” kata mereka lagi.

Justeru itu, mereka mengulangi komitmen mereka untuk mengambil pendekatan yang benar-benar bersatu dan pelbagai kaum dan agama di dalam perjuangan kami memperjuangkan keadilan untuk semua.

Mereka juga meluahkan rasa kesal dengan tindakan kasar pihak berkuasa di dalam siri penahanan yang berlangsung pada 9 hingga 11 Disember.

Menurut mereka lagi, penangkapan pimpinan badan bukan kerajaan dan parti-parti politik merupakan satu pelanggaran jelas hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Peristiwa tangkapan dan tekanan ini jelas bertentangan dengan jaminan kerajaan bahawa Malaysia merupakan sebuah demokrasi yang kukuh, dan akan mencemar nama negara di mata dunia,” tegas mereka.

Mereka juga menegaskan bahawa mereka akan juga terus komited di dalam memperjuangkan agenda pilihanraya yang bebas dan adil di samping reformasi Pilihan Raya yang benar-benar bermakna.

Pada hemat mereka, pemindaan Perlembagaan yang membenarkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk terus berkhidmat setahun lagi ialah petanda jelas bahawa kerajaan benar-benar ingin meneruskan sistem pilihan raya yang penuh dengan kelemahan dan penipuan.

Mereka mendesak kerajaan untuk memberi akses yang saksama terhadap media untuk semua parti politik dan menerima bukti-bukti yang telah mereka kumpulkan secara serius untuk membanteras penyelewangan pilihanraya yang menular selama ini.

Mereka berpendapat lagi bahawa jika tiada langkah yang segera diambil untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, kita tidak akan memperoleh keadilan, keamanan dan kebebasan.

Oleh yang demikian, mereka menyatakan kesediaan mereka untuk membawanya ke peringkat kerajaan yang paling tinggi memandangkan adalah penting masalah-masalah ini dapat diselesaikan segera.

“Di dalam pertemuan yang diminta dengan Perdana Menteri ini, kami berhasrat meneruskan agenda perpaduan dan muafakat nasional di kalangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dan meneruskan gesaan kami untuk pilihan raya yang bersih dan adil, di samping berusaha menyelesaikan masalah negara yang kita hadapi.”

Tiada ulasan: