Mikrocip bernilai lebih setengah juta dilarikan
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki bersenjatakan parang melarikan sebuah lori yang mengandungi muatan mikrocip bernilai lebih RM500,000 dalam satu kejadian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, pemandu lori berkenaan dalam perjalanan menghantar muatan mikrocip itu ke sebuah syarikat elektronik di Ipoh, Perak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Abu Karim Hasan ketika dihubungi berkata pemandu lori berkenaan yang berhenti untuk pergi ke tandas didatangi tiga lelaki yang menaiki sebuah pacuan empat roda.
"Sebaik mangsa keluar dari tandas, dua lelaki berusia lingkungan 20-an menghampiri mangsa dan mengugut mangsa supaya membawa mereka ke lori terbabit. Salah seorang suspek mengawasi pergerakan orang ramai.
"Setiba di lori itu, suspek bertindak menolak mangsa ke dalam lori dan memandu lori itu kira-kira lima kilometer dari R&R itu. Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan tanpa dicederakan," katanya.
Abu Karim berkata pemandu berusia 30-an itu terpaksa berjalan kaki kira-kira satu kilometer sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.
Beliau berkata polis sedang menyiasat sama ada rompakan itu mempunyai kaitan "orang dalam", memandangkan suspek tahu waktu pergerakan lori itu.
"Pihak syarikat terbabit telah dihubungi dan kita akan ambil keterangan mereka. Kita juga berusaha mengesan identiti suspek-suspek dengan melihat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di R&R itu.
"Kami juga akan buat sekatan jalan bagi memastikan suspek tidak melarikan diri," katanya, menambah sehingga malam ini, polis masih tidak menemui sebarang petunjuk yang positif. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan