HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Disember 2007

Sardin luput tarikh diderma kepada mangsa bah!


TEMERLOH: Seorang mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Durian Tawar di sini mendakwa menerima bantuan makanan yang sudah luput tarikh.

Yusop Maidin, 55, yang berada di situ sejak lapan hari lepas, berkata beliau menyedari tarikh luput pada tin sardin yang diterimanya ketika hendak membukanya untuk dimasak.

"Sudahlah kecewa dengan keadaan kami sekarang yang dilanda banjir, bekalan makanan pula tamat tempoh," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Yusop berkata beliau tetap bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan pelbagai bantuan seperti beras, biskut, susu, selimut dan juga tikar.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kemayan Datuk Mohd Hayani Abdul Rahman berkata ia mungkin disebabkan kerana terlepas pandang disebabkan barang bantuan terlalu banyak.

"Saya nak nasihat pada mereka ini, kalau ada benda macam ini, tolong beritahu pada orang yang menyampaikan bantuan dan jangan salahkan mereka. Mereka mungkin terlepas pandang memandangkan barang ini bertimpa-timpa," katanya.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Operasi Banjir Temerloh, semua jalan yang ditutup sebelum ini telah dibuka hari ini. BERNAMA

Tiada ulasan: