HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Disember 2007

Azman dan Suwandi Failkan Saman terhadap pegawai polis dan kerajaan.
Ditulis oleh Wan Kay


Kuala Terengganu - Mangsa tembakan peluru hidup, Insiden 8 September berhampimpiran Hotel Permai Park Inn, Batu Burok, Kuala Terengganu, memfailkan saman kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap kes tersebut.

Mohamad Azman Aziz dan Suwandi Abd Ghani mengambil tindakan undang-undang secara berasingan terhadap anggota polis bernama Wan Abdul Aziz Wan Omar (RF 143706), Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Kerajaan Malaysia.

Azman akan diwakili oleh Tetuan Abdul Haris & Co manakala Wan Mutalib & Co. akan mewakili Suwandi sebagai Peguambela dan Peguamcara, yang akan memfailkan saman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada jam 9.30 pagi 27 Disember 2007 ini.

Saman tersebut mendakwa bahawa plaintif telah mengalami kecederaan kerana tembakan langsung polis(defendan) yang menggunakan pistol, menembak dengan peluru hidup ditempat kejadian, adalah diluar prosedur penguatkuasaan perundangan dan keselamatan, tanpa mempertimbangkan nyawa orang ramai.

Dengan itu plaintif menuntut;

Yang Pertama, bahawa penangkapan serta penahanannya secara salah, bertentangan dengan undang-undang, mencabuli, menjejaskan serta telah melanggar hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, saman itu juga membuat tuntutan supaya mahkamah membuat satu deklarasi bahawa plaintif yang mula ditahan dalam tahanan polis bermula di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 8 September 2007, kemudian di Hospital Universiti Sains Malaysia(HUSM) Kubang Kerian (bagi Suwandi) sehingga plaintif dibebaskan dengan ikat jamin dan tindakan menggarikan plaintif di katil hospital, adalah satu kesalahan serta penghinaan terbuka yang bertentangan dengan undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.

Tuntutan Ketiga didalam saman itu adalah memohon satu deklarasi lain bahawa serangan dan kepungan yang dibuat oleh sepasukan polis, secara terancang ke atas rumah kediaman di waktu malam hari, dalam usaha dan ‘dalam keadaan tanpa waran’ untuk mengambil Azman dan Suwandi pada awal pagi 9 Disember 2007 lalu, adalah satu kesalahan dan perbuatan biadap di luar kesusilaan, prosedur dan prinsip perundangan serta bertentangan dengan undang-undang.

Plaintif membuat tuntutan Keempat, supaya satu ‘celaan’ dibuat di Mahkamah Tinggi, bahawa kehadiran Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Abdul Gani Patail sebagai Pendakwa Raya Malaysia dalam mengemukakan pertuduhan ke atas plaintif pada 9 Disember 2007 lalu di hadapan Hakim Sesyen yang ‘junior’ di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu itu tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, ianya telah meletakkan plaintif di dalam keadaan ‘prejudis perundangan’ dan satu perbuatan yang melampau, mengagrabitkan kerosakan maruah, reputasi dan pandangan umum ke atas plaintif.

Kelima, bahawa defendan-defendan hendaklah membayar Gantirugi Khas kepada plaintif sebagaimana yang dituntutkan dalam Pernyataan Tuntutan Plaintif.

Keenam, bahawa defendan-defendan hendaklah membayar Gantirugi Am bagi kejutan, kesakitan, kecederaan, penderitaan dan kecacatan sementara dan kekal, hilang keupayaan sementara dan kekal akibat daripada gangguan mental dan kecederaan sarf dan anggota tubuh badan plaintif.

Ketujuh, bahawa defendan-defendan hendaklah membayar pampasan atau Gantirugi Am bagi setiap pelanggaran dan kehilangan maruah, kesengsaraan hidup, tekanan perasaan terhadap pandangan umum ke atas keluarga, tercabarnya hak-hak asasi plaintif sebagai rakyat biasa yang boleh dinikmati plaintif di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang berkenaan.

Kelapan, Gantirugi Teruk (Aggrevated Damages) dan Gantirugi Teladan (Examplary Damages) mengikut pertimbangan dan taksiran yang akan dibuat oleh Mahkamah.

Kesembilan, faedah ke atas setiap kepala pemberian pampas an yang diluluskan kepada plaintif mengikut kadar yang dibenarkan oleh Undang-undang.

Kesepuluh, kos yang ditaksirkan oleh Mahkamah dan mana-mana ‘relif’ yang akan difikirkan sesuai manfaat oleh Mahkamah.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat prihatin pendokong keadilan untuk turut serta ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Disember ‘07, jam 9.30 pagi bagi memberikan sokongan moral kepada Suwandi dan Azman serta menunjukkan sikap atas bantahan terhadap ketidakadilan penahanan mereka menurut Islam.

Setiausaha Perhubungan Negeri, Tuan Haji Yahaya Ali ketika dihubungi oleh Buletinonline, berkata “marilah kita bersama-sama meluangkan sedikit masa hari ini, bersama-sama menunjukkan sokongan moral dan bantahan kepada ketidakadilan, bagi kita bersama-sama memberikan saham untuk masa depan, iaitu didunia yang penuh dengan keadilan dan kesejahteraan dan diakhirat mendapat keredhaan Allah SWT”

“Kita berharap kita dapat hadir beramai-ramai di perkarangan mahkamah Kuala Terengganu pada jam 9.30 pagi, hari Khamis jam 9.30 pagi, didalam menunjukkan rasa tanggungjawab kita sebagai saudara kepada Suwandi dan Azman yang teraniaya” tambah Hj Yahaya Ali.

Tiada ulasan: