HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2007

4 bebas ISA - Setelah 5 tahun menderita & terseksa.
Petikan Malaysiakini.



Kerajaan telah membebaskan empat tahanan yang didakwa anggota kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) selepas ditahan selama hampir lima tahun di bawah ISA, kata Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng.

Menurutnya, mereka dibebaskan pada hari Rabu lalu.

Mereka ditahan pada bulan Disember 2002 di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang memboleh penahanan tanpa bicara, selepas kerajaan melancarkan gerakan menangkap anggota JI.

Kumpulan JI yang sebelum ini didakwa mempunayi kaitan dengan al-Qaeda, dikatakan bertanggungjawab terhadap serangan maut yang membunuh beratus-ratus orang di rantau Asia Tenggara.

Yap berkata, mereka dibebaskan dari Kem Tahanan Kemunting pada 19 Disember, tetapi pergerakan mereka dipantau.

"Mereka masih perlu melaporkan diri kepada pihak polis dan tidak boleh keluar pada waktu malam," katanya.

Pihak berkuasa tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Tetapi pegawai perisikan sebelum ini berkata tahanan di bawah ISA hanya dilanjutkan jika terdapat bukti yang mereka masih mengancam keselamatan negara.

Sementara itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berkata mereka yang dibebaskan itu ialah Bakkery Mahhamud, Mohamad Zamri Sukirman, Sabri Jaafar dan Zamzuri Sukirman.

Menurut GMI mereka telah ditahan pada Disember 2002 dan Januari 2003.

GMI mahu ISA dimansuhkan dan berkata kempen berterusan yang dijalankan telah membantu pembebasan mereka. Tetapi ia mengkritik tindakan kerajaan memilih tahanan yang hendak dibebaskan.

"GMI menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membebaskan segera semua mereka yang ditahan di Kamunting atau dakwa mereka di mahkamah," katanya.

Kerajaan menggunakan ISA pada Disember lalu untuk menahan lima aktivis Hindu selepas mereka menganjurkan perhimpunan rakyat pada 25 November lalu kerana membantah peminggiran kaum India di negara ini.

Mereka masih ditahan oleh pihak berkuasa dan pihak pengkritik mendakwa bahawa ISA melanggar hak asasi manusia.

Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 85 orang di bawah ISA, termasuk mereka yang disyaki anggota JI, demikian menurut Suaram.

JI didakwa bertanggungjawab terhadap pengeboman pulau peranginan Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang, sebahagian besarnya pelancong asing.

Tiada ulasan: