HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Disember 2007

NGO India gesa tubuh Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam


KUALA LUMPUR: Para pemimpin 40 badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan kaum India di Malaysia kelmarin menggesa Jabatan Perdana Menteri (JPM) menubuhkan sebuah Jabatan Ehwal Bukan Islam.

Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC), A. Rajaratnam, berkata keputusan itu diambil sebulat suara dalam satu mesyuarat tertutup persatuan tersebut di sini kelmarin.

'Oleh kerana kita sudah merdeka selama 50 tahun, maka sudah tiba masanya bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menubuhkan sebuah Jabatan Ehwal Bukan Islam,' kata beliau.

'Di bawah JPM sudah ada Jabatan Ehwal Islam, jadi kami mahu sebuah Jabatan Ehwal Bukan Islam,' tegas beliau.

Antara NGO yang menghadiri mesyuarat itu ialah Majlis Hindu Malaysia (MHC), Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Malaysian Hindu Dharma Mamandram (MHDM), Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (FMIO), Pertubuhan Silambam Malaysia (MSA), Persatuan Sivik India Malaysia (MICA), Persatuan Penulis Tamil Malaysia (MTWA) dan Persatuan Pengetua Sekolah Tamil Malaysia (MTSHA).

Encik Rajaratnam berkata gabungan tersebut akur supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiapkan satu memorandum mengandungi isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India.

'Kami telah melantik presiden MHDM, Prof N.S. Rajendran, untuk melancarkan pasukan petugas itu.

'Sebaik sahaja (memorandum siap), kami akan meminta presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. Samy Vellu, untuk menyerahkan memorandum itu kepada perdana menteri,' katanya. -- NST.

Tiada ulasan: