HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Disember 2007

Semua Ketua Bahagian Umno Perlis mahu Shahidan ditukar.



PADANG BESAR: Semua Ketua Bahagian Umno di Perlis kecuali Arau mahukan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim ditukar selepas pilihanraya akan datang. Mereka termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang dilaporkan berkata, sudah sampai masanya kepimpinan parti di Perlis diubah termasuk menggantikan Menteri Besar.

Menurutnya, sebagai setiausaha agung parti dan anak jati Perlis, beliau nampak pergolakan yang berlaku dalam UMNO negeri semakin meruncing sehingga memperlihatkan tiada kerjasama antara pemimpin-pemimpin UMNO negeri.

Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, beliau melihat pergolakan sesama ahli parti di Perlis berlaku di ketiga-tiga bahagian iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

‘‘Sudah sampai masanya (kepimpinan UMNO) Perlis diubah. Ini pandangan saya sebagai setiausaha agung parti. Kalau Perlis masih kekal dengan kepimpinan lama dan tokoh yang lama, saya rasa negeri ini akan terus berada di takuk lama.

‘‘Saya tak mahu pergi kepada (masalah-masalah) pembangunan, ekonomi atau pengurusan pentadbiran tetapi kepimpinan politik di negeri ini, cukuplah,” katanya.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya UMNO Bahagian Padang Besar di Bukit Keteri di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid dan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Menurut Radzi, sebahagian besar daripada ahli parti di Perlis juga bersetuju supaya kepimpinan politik di negeri ini diubah termasuk menukar Menteri Besar.

‘‘Menteri Besar perlu diubah (ditukar) kerana Menteri Besar adalah ketua negeri. Kalau tak ubah Menteri Besar, tak bolehlah ubah kepimpinan,” katanya.

Radzi berkata, beliau terpaksa membuat kenyataan secara terbuka mengenai kepimpinan politik di Perlis kerana melihat tahap kerjasama antara pemimpin parti di ketiga-tiga bahagian berkenaan begitu buruk.

‘‘Bukan saya kata saya nak ubah kepimpinan tetapi saya sudah lihat dan fikir, sudah sampai masanya ia diubah. Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO nampak semuanya. Tiada langsung kerjasama di antara ketiga-tiga bahagian ini malah dalam satu bahagian pun tiada kerjasama antara sesama mereka,’’ katanya.

Radzi menambah, sebagai setiausaha agung parti juga, beliau perlu mengambil berat tentang perkara-perkara yang melibatkan kerjasama antara semua pemimpin dan ahli parti.

‘‘Ia amat penting kepada saya (sebagai setiausaha agung). Berpuak-puak bukan amalan dalam UMNO. UMNO Perlis dilihat bermusuh seolah-olah mereka berada dalam parti lain,’’ katanya.

Radzi mengulangi bahawa kenyataannya itu adalah berupa kenyataan yang lahir daripada pengamatan dan pemerhatiannya terhadap suasana politik di Perlis.

‘‘Bukan saya nak tunjuk hebat. Saya tidak pernah buat cerita (beri kenyataan) macam ini. Saya buat kenyataan ini kerana saya nampak apa yang berlaku sebagai setiausaha agung parti sejak empat tahun lalu.

‘‘Perlis negeri kecil dan mempunyai hanya tiga bahagian sahaja. Jadi kalau sampai tiada kerjasama dan berpuak-puak maka ia perlu dibuat perubahan, kalau tidak UMNO Perlis akan hancur,’’ katanya.

Ditanya sama ada sudah ada calon untuk menggantikan Menteri Besar jika ingin membuat perubahan, Radzi berkata, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Azmi yang turut hadir pada sidang akhbar itu enggan mengulas tetapi berkata, kenyataan Radzi itu lahir daripada apa yang dilihat dan diamatinya mengenai suasana politik Perlis atas kapasiti Setiausaha Agung UMNO.

‘‘Beliau sebagai setiausaha agung nampak semuanya sebab beliau menjelajah seluruh negara dan tahu membuat perbezaan (antara politik Perlis dengan negeri-negeri lain),’’ katanya.

Tiada ulasan: