Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan
permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara, selama seminggu,
berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang.Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari (Isnin).
"Penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau yang ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.
"Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, sehingga semalam, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir.
Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Jan.
"Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah agar apabila keadaan banjir kembali pulih, mereka harus menggunakan tempoh itu untuk bergotong royong membersihkan kawasan sekolah, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada murid-murid.
Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri yang terjejas adalah 225,722 orang. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan