HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Disember 2014

MB mohon maaf, rumah sendiri naik air

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob memohon maaf kerana tidak dapat membantu mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir kerana beliau sendiri terperangkap di kediamannya.

Beliau berkata, kediamannya di Alor Pasir, Pasir Pekan itu turut dinaiki air sejak semalam.

"Saya memohon maaf kepada sekalian rakyat khususnya rakyat di DUN saya kerana pada masa ini saya menghadapi kesukaran untuk keluar mengagihkan bantuan kerana saya turut terperangkap dengan air yang mulai masuk ke rumah.

"Sama-samalah kita berdoa, solat hajat dan jangan putus munajat kepada Allah agar diselamatkan sekalian rakyat Kelantan daripada bencana ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau dijangka mengumumkan keputusannya hari ini sama ada sidang khas DUN Kelantan yang dijadualkan pada Isnin depan akan tetap berlangsung atau sebaliknya.

Malaysiakini semalam melaporkan kawasan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Darul Naim, yang menempatkan bangunan DUN turut dinaiki air.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam berkata menteri besar akan memutuskan hari ini

Kawasan kediaman MB di Pasir Pekan itu terletak hanya kira-kira 500 meter dari tebing Sungai Kelantan. Kawasan di sekitar sungai yang membawa arus dari hulu itu antara terjejas teruk dalam banjir kali ini.

Arus deras itu turut menyebabkan Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Pasir Pekan ke Kota Bharu, ditutup kepada semua lalu lintas sejak kelmarin ekoran paras air meningkat melepasi jambatan.

Tiada ulasan: