Banjir
 
 
 
PERODUA menawarkan diskaun 20 peratus ke atas alat ganti tertentu untuk kenderaan Perodua yang terjejas oleh banjir.
  
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, alat-alat ganti itu termasuk bahagian elektronik, karpet, tempat duduk, perapi pintu dan gasket baik pulih enjin.
  
"Pemilik kenderaan Perodua turut mendapat bantuan penundaan bagi membawa kereta mereka ke pusat servis Perodua terdekat dan pemeriksaan percuma ke atas kerosakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Pemilik kenderaan yang ditunda akan dibayar balik sehingga RM100 bagi perkhidmatan itu.
  
"Pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, boleh menghubungi perkhidmatan khidmat pelanggan Perodua di tol talian bebas, 1800-88-6600 untuk bantuan".
  
Sementara itu, Aminar Rashid berkata, Perodua, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, telah mengedarkan barangan bernilai RM40,000, termasuk beg tidur, makanan dan minuman kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pada 19 Disember.
  
"Kami juga telah menyenaraikan sukarelawan kami bagi membantu mangsa-mangsa banjir untuk kerja-kerja pembersihan ke atas rumah yang terjejas," katanya sambil menambah, Perodua turut memantau keadaan banjir dan akan menghulurkan bantuan tambahan jika keadaan memerlukan.
  
Aminar Rashid berkata, Perodua juga menganjurkan solat hajat dan doa selamat untuk mangsa-mangsa banjir. - Bernama