Tiada siapa menghalang atau mengajak Anwar untuk berdebat mengenai tindakannya.
KUALA LUMPUR: Cabaran peguam Mohamed Hanipa Maidin mengajak peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdebat berhubung kes liwat II menunjukkan Ahli Parlimen Sepang itu bersikap `double standard’.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, sebelum 10 Feb Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat siri jelajah ke seluruh negara bercakap mengenai kes liwatnya dalam Kempen Rakyat Hakim Negara walaupun kes itu masih dalam prosiding mahkamah.
Menurut beliau, tiada siapa menghalang atau mengajak Anwar untuk berdebat mengenai tindakannya itu tetapi apabila Muhammad Shafee berbuat demikian, Pakatan Rakyat mula tidak keruan.
“Muhammad Shafee tidak melanggar etika guaman apabila memberikan kenyataan terbuka selepas kes itu selesai. Mungkin pembangkang bimbang tembelang Anwar akan lebih terbongkar apabila Muhammad Shafee berbuat demikian,” katanya.
Beliau mengulas tindakan Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAs Pusat yang bersedia berdebat dengan Muhammad Shafee atau Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan berhubung keputusan kes liwat II, Anwar itu.
Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar.
Pada Selasa lepas, Shafee yang merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan liwat II mendedahkan pelbagai butiran sensasi berhubung kes itu dalam program anjuran Pemuda UMNO di Kelana Jaya.
Malah, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam ucapannya di program tersebut berkata Barisan Nasional tidak akan berdiam diri lagi dalam kes liwat itu.
“Cuma adakah mereka bersedia untuk mendengar lebih banyak pembongkaran mengenai Anwar yang tidak pernah didedahkan di media masa sebelum ini,” kata Jamawi, lapor The Rakyat Post.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan