Oleh Mohd Sany Hamzan
Laporan media minggu lalu melaporkan keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Chempaka pada 22 Mac ini perlu ditanggapi dengan penuh hati-hati oleh seluruh penyokong dan ahli PAS dan Pakatan Rakyat (PR).
Walaupun keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan Umno dan BN mengiktiraf perjuangan PAS yang ditunjangi allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) yang pernah dipertanggungjawabkan sebagai menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS ketika hayat beliau, namun rakyat Malaysia umumnya dan Kelantan khususnya tidak akan pernah lupa tekanan dan sekatan sewaktu allahyarham memimpin Kelantan dulu.
Bagaimana status royalti Kelantan yang selama ini gigih diperjuangkan allahyarham? Rakyat Kelantan sehingga hari ini masih lagi menuntut kerajaan persekutuan memulangkan kembali tunggakan royalti minyak yang dinafikan selama ini.
Sehingga perkara tersebut menjadi realiti, ungkapan presiden Umno untuk tidak meletakkan calon dalam PRK yang kononnya demi menjaga perpaduan ummah atau menghormati pemergian allahyarham Nik Aziz tidak lebih dari sekadar sandiwara politik semata-mata.
Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia juga ingin terus mengulangi ingatan kepada jentera pilihan raya Pemuda seluruh negara agar membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi PRK ini tanpa ada beza sama ada Umno bertanding atau tidak. Lebih penting, jangan sekali-kali membiarkan polemik yang sedang melanda parti ketika ini menjejaskan tumpuan masing-masing.
Kemenangan dengan majoriti yang lebih besar bakal menjadi tanda aras rakyat Kelantan masih lagi mahu mengekalkan legasi Tok Guru. Tidak terhenti setakat itu, kemenangan dengan majoriti lebih besar ini juga akan menguatkan lagi tekad pimpinan PAS dan Kelantan untuk memastikan impian rakyat Kelantan yang selama ini dinafikan secara zalim menjadi realiti.
Selaku penggerak utama jentera pilihan raya Pemuda PAS Malaysia, saya ingin memberikan jaminan dan komitmen menyeluruh kita akan terus bekerja dari sekarang – tidak hanya sekadar menghadapi PRK ini, bahkan konsisten pada setiap saat dan ketika untuk membantu PAS dan PR menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU14. Kita mahu menjadi sebahagian daripada jentera yang akan menang pilihan raya, seterusnya menawan Putrajaya dengan reda Allah.
* Penulis ialah pengarah pilihan raya Pemuda PAS Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan