KUALA LUMPUR-  Seorang lelaki mendakwa diarah menukar pakaiannya, ketika beliau cuba mengambil bagasinya yang tertinggal di pejabat kehilangan barang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hanya kerana memakai seluar pendek dan sandal.

Ini merupakan insiden kelima, selepas seorang wanita diminta memakai kain batik di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); dua wanita dihalang masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) kerana memakai skirt; seorang wanita terpaksa memakai tuala pesakit untuk melawat pesakit di Hospital Sungai Buloh dan seorang wanita dihalang masuk ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, kerana memakai skirt di atas paras lutut.

Dalam insiden terbaru, Wilson Ng melalui blognya, Placesandfoods.com mendakwa, dia tertinggal bagasi di KLIA, selepas pulang dari Taipei bersama keluarganya.

Selepas menghubungi KLIA, beliau diberitahu bahawa bagasinya disimpan Malaysia Airlines (MAS) dan dia boleh mengambilnya di pejabat kehilangan barangan.

Katanya, ketika mendaftar dengan Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC), pengawal keselamatan memintanya menukar pakaian, kerana terdapat kod etika pakaian untuk memasuki bangunan KLIA dan pejabat kehilangan barangan itu.

“Saya terkejut dan kecewa dengan permintaan mereka, kerana rumah saya bukannya dekat KLIA.

“Saya memberitahu pengawal berkenaan yang saya tidak diberitahu tentang kod etika pakaian, ketika dihubungi sehari sebelum itu dan ia juga tidak dinyatakan dalam laman web mereka.

“Kerana saya berkeras, mereka memberitahu saya, mereka ada seluar dan kasut yang boleh saya pakai.

“Jadi, saya pun pakai seluar yang tidak boleh dizip itu dan kasut tanpa stokin, saya terus dapatkan pas keselamatan dan pergi ke pejabat berkenaan untuk mengambil bagasi saya,” katanya.

Selepas itu, beliau terus memulangkan pakaian yang dipinjamnya itu, sebelum meninggalkan KLIA.

“Di kaunter keselamatan, saya ternampak pelancong asing yang sedang bercuti di sini bersama anak-anak mereka, melemparkan kata-kata kesat kepada pengawal bertugas, kerana turut berdepan masalah sama dengan saya, memakai seluar pendek dan sandal.

“Pada saya, peraturan tetap peraturan dan saya akan ikut, noktah. Tetapi, mereka sepatutnya meletakkan notis di laman web mereka mengenai kod etika pakaian.

“Saya tidak marah dengan pengawal yang bertugas, kerana mereka hanya menjalankan tugas mereka,” katanya.