OLEH:SANDRA SOKIAL
Prof. Felix berkata, emas yang ditemui penduduk mungkin adalah mineral pirit yang dikenali sebagai 'emas palsu'.
KOTA KINABALU- Penemuan emas di Kampung Kedamaian, Kota Belud menggemparkan penduduk setempat yang menganggap ia adalah rahmat, selepas bencana gempa yang melanda Negeri di Bawah Bayu itu, pada 5 Jun lalu.
Difahamkan, penduduk menemui batu
berkilat yang menyerupai emas di Sungai Kilombun Tambatuon yang mengalir
di perkampungan mereka.
Namun, ahli geologi, Prof. Felix Tongkul
berkata, emas yang ditemui penduduk itu mungkin adalah mineral pirit
yang dikenali sebagai ‘emas palsu’.
Menurutnya, emas dan mineral pirit mempunyai warna sama dan sukar dibezakan.
“Namun, kedua-dua mineral ini boleh
dibezakan melalui bentuk, kerana emas biasanya berbentuk ketulan,
kepingan kecil atau ketulan tidak berbentuk, manakala pirit biasanya
berbentuk kiub.
“Emas
lebih lembut berbanding pirit dan boleh dicalarkan dengan pisau. Emas
tidak mempunyai bau, manakala pirit mengeluarkan bau sulfur seperti
telur busuk, apabila digosok dengan objek keras,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Jelasnya, disebabkan runtuhan besar di Gunung Kinabalu, banyak batu granit berkumpul di kaki gunung.
Menurutnya, apabila air mengalir melalui batu itu, pelbagai mineral boleh dilepaskan ke sungai.
“Berkemungkinan sebahagian daripada mineral adalah emas, perak atau tembaga,” kataya.
Menurutnya, perkara itu diketahui
daripada bekas lombong tembaga Mamut bahawa emas dijumpai bersama
tembaga serta perak, dan kemungkinan emas boleh ditemui di dasar sungai.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk
menemui emas dalam jumlah besar memerlukan sumber dari gunung, iaitu
telerang kuarza yang mengalami pemineralan mengisi rekahan dalam batuan
granit.
“Kehadiran telerang ini tidak diketahui, maka kehadiran emas yang banyak tidak diketahui atau dibuktikan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang mencari emas sentiasa berwaspada terhadap ancaman banjir lumpur di sungai berkenaan.
“Komuniti harus memastikan kanak-kanak tidak dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan