Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
mengakui banyak mengabaikan anak-anaknya dalam perjuangan reformasi yang
dilakukan bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Wan Azizah, ia merupakan harga untuk sebahagian pengorbanan
besar yang dibuat demi mendapatkan keadilan buat masyarakat dan rakyat
negara ini.
"Perjuangan saya bermula ketika saya memikul tanggungjawab sebagai
seorang pensyarah dan doktor di Universiti Malaya. Saya sedar bahawa
ketika suami saya mula-mula ditahan pihak berkuasa, anak-anak saya masih
kecil.
"Saya sibuk dengan perjuangan saya bersama Datuk Seri Anwar (suami)
sehinggakan saya mengabaikan anak-anak yang masih kecil," katanya ketika
berucap di Peluncuran Buku 'Sayang Buat Papa& My Dear Papa' di
sini, semalam.
Ujar Wan Azizah lagi, meskipun sudah beberapa kali dilanda badai,
beliau bersyukur anak-anaknya sentiasa memahami apa jua keadaan yang
berlaku.
"Saya sentiasa berdoa kepada ALLAH, dan hari ini ALLAH makbulkan doa
saya. ALLAH terjemahkan doa saya menerusi Nurul Hana (anak bongsu Wan
Azizah dan Anwar).
"Hari ini, Nurul Hana terbitkan bukunya yang bertajuk 'Sayang Buat
Papa& My Dear Papa' . Buku itu untuk papanya. Ia adalah hasil
tulisan Hana yang melihat segalanya yang berlaku menerusi kaca matanya
sendiri. Hari ini, saya bukan datang sebagai presiden (PKR), tapi saya
datang sebagai seorang ibu," katanya sebelum disambut dengan tepukan
gemuruh penonton yang hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan