SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen pembangkang dari DAP, PKR dan Harapan
Baru bersetuju untuk menyertai Jawatankuasa Konsultatif Nasional
Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) sekiranya Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak bersetuju dalam beberapa perkara dan tuntutan
mereka.
Dalam satu kenyataan bersama Ahli-ahli Parlimen DAP, PKR dan Harapan
Baru hari ini, mereka menegaskan persetujuan boleh dicapai jika isu
penyaluran derma RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi Najib oleh
pihak asing perlu ditangani terlebih dahulu.
“Skop Majlis Perundingan Kebangsaan juga perlu diperluaskan kepada
pembaharuan pilih raya dan kebebasan diberikan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),”
kata kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Ahli-ahli
pembangkang antara DAP, PKR dan Harapan Baru yang diadakan, semalam.
Antara ahli Parlimen dari DAP yang hadir pada mesyuarat itu semalam
ialah Lim Kit Siang (Gelang Patah), Anthony Loke (Seremban), Teresa Kok
(Seputih), Liew Chin Tong (Kluang) dan Teo Kok Seong (Rasah).
Manakala PKR pula dihadiri oleh Rafizi Ramli (Pandan), Johari Abdul
(Sg. Petani), Wong Chen (Kelana Jaya), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan S
Manikavasagam (Kapar).
Sementara Harapan Baru pula diwakili oleh Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Khalid Samad (Shah Alam).
Dalam pada itu, mesyuarat itu turut mendesak Najib dan timbalannya,
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menghalang perhimpunan Bersih
4.0 diteruskan tanpa sebarang gangguan pada hujung minggu ini.
“Ahli-ahli Parlimen dari DAP, PKR and GHB menyokong perhimpunan aman
Bersih 4.0 dan menyeru supaya Najib Ahmad Zahid supaya berjanji tidak
akan melumpuhkan himpunan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, mereka turut bersedia membincangkan cadangan daripada
ahli-ahli Parlimen BN untuk membentuk suatu majoriti baharu untuk
menyingkirkan Najib.
“Penggantian Najib perlu dibuat dengan pembaharuan politik sebagai agenda utama kerajaan baru berkenaan.
“Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua tahanan politik yang
lain harus menjadi tugas pertama majoriti baru ini. Semua penganiayaan
politik harus dibatalkan,” katanya kenyataan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan