HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2015

Lima lokasi berkumpul sebelum jumpa di Dataran Merdeka

Oleh Fiza Abd Halim


PETALING JAYA : Perhimpunan Bersih 4 hujung minggu ini tetap diteruskan dengan lima lokasi berkumpul di ibu negara sebelum menuju Dataran Merdeka.

Penganjur – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berkata, lokasi terbabit adalah Masjid Negara, Brickfields, Pasar Seni, Menara Maybank dan di hadapan kompleks beli belah Sogo.

Menurut Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, kelima-lima lokasi tersebut merupakan kawasan berdekatan dengan Dataran Merdeka dan memudahkan rakyat untuk menyertai himpunan tersebut.
LOGO KOLUM
“Dua hari sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia turun beramai-ramai ke jalanan bagi menyatakan desakan terhadap lima tuntutan kita, iaitu pilihan raya bersih, kukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan selamatkan ekonomi negara.

“Bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah perhimpunan ini juga diadakan serentak di Sabah dan Sarawak. Di Kota Kinabalu, mereka akan berkumpul di kawasan parkir – Sabah Trade Center (Likas Square) dan berarak ke Tanjung Lipat Public Park. Di Kuching, mereka akan berkumpul di Padang Jubilee dan Pelita Car Park.

“Malah acara global Bersih berlangsung di lebih 60 bandar utama seluruh dunia, pada tarikh dan masa yang sama mengikut zon waktu masing-masing,” jelasnya pada sidang media di sebuah hotel di sini.
Selain itu, terdapat 2,000 sukarelawan selaku pemantau bagi menjaga keselamatan semasa perhimpunan dan mereka akan memakai ‘vest’ tertera tulisan ‘Pemantau’.

“Pasukan bantuan kecemasan pula akan berada di kawasan-kawasan strategik dan siap sedia dengan ambulan masing-masing sekiranya memerlukan sesiapa dievakuasi dari tapak perhimpunan akibat kecederaan atau masalah kesihatan,” ujarnya.

Menurut Maria, Bersih 4 juga turut menyediakan khidmat medik, dan peserta yang memerlukan bantuan, perlu hantarkan SMS dengan maklumat lokasi, bangunan terdekat dan maklumat kejadian ke nombor 011-123-77118 atau 013-203-6911.

Jika ditangkap, Maria mengingatkan peserta bertenang dan hubungi pasukan ‘urgent arrest’ menggunakan SMS dengan memberikan nama, nombor kad pengenalan dan lokasi balai polis ke nombor 018-3160-214 atau 018-3907-780 atau 018-3135-988.

Tiada ulasan: