DETIK DAILY
Latar Belakang Ringkas ProGuam
ProGuam merupakan NGO yang berdaftar dengan ROS dan terdiri daripada para peguam,
ahli akademik, pegawai undang-undang dan lain-lain ahli yang mempunyai
pelbagai latar belakang perundangan sivil atau syariah; termasuk yang
berlainan latar belakang politik termasuk daripada Pas, Pkr dan Dap.
Malah, kita juga telah menerima penyertaan rakan-rakan Peguam daripada
Ikram di mana kesemua Ahli yang telah berdaftar dengan ProGuam kini
berjumlah 100 orang dari seluruh Negara.
Penubuhan ProGuam tercetus berdasarkan inisiatif peguam-peguam yang cintakan undang-undang serta perjuangan hak asasi manusia tanpa mengira latar belakang politik.
Buat masa ini, penggerak utama ProGuam
adalah terdiri daripada bekas-bekas ahli jawatankuasa JUHAM (Jabatan
Undang-undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia) yang telah
tersedia mempunyai rekod keterlibatan mereka dengan pelbagai kes-kes
perundangan yang berkaitan dengan hak asasi manusia seperti Bersih 1.0
hingga Bersih 3.0, Gerakan Mansuhkan ISA, kes-kes tangkapan di bawah
SOSMA sehinggalah yang terkini kes tangkapan melibatkan mahasiswa yang
berhimpun di hadapan Parlimen pada 25 Ogos yang lalu.
Semalam,
26 Ogos, saya dan rakan-rakan ProGuam yang lain telah mewakili 4
orang daripada 16 orang mahasiswa yang terlibat dalam prosiding reman
terbabit di mana 3 orang daripadanya adalah mahasiswa PAS dan seorang
daripadanya adalah dari Anak Muda Harapan Baru.
ProGuam for Bersih 4.0
Pertubuhan Pengamal Undang-undang & Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menyatakan sokongan kepada penganjuran Bersih 4.0.
Sebagai
komitmen ProGuam kepada Bersih 4.0, ProGuam menyediakan 80 orang
Peguam yang akan berkhidmat sepanjang penganjuran Bersih 4.0 tersebut.
Peguam-peguam
ProGuam akan ditugaskan ke lapangan iaitu di tempat perhimpunan
tersebut bagi tujuan memantau dan juga akan ke lokap-lokap atau balai
bagi tujuan prosiding reman sekiranya berlaku tangkapan.
ProGuam dengan ini melancarkan tiga nombor Hotline bagi membolehkan para peserta Bersih 4.0 hubungi sekiranya berlaku tangkapan:
017-394 1559
017-394 1561
017-303 2591
Nombor-nombor di atas akan mula diaktifkan bermula jam 8.00 malam pada 28 Ogos 2015.
ProGuam
dengan ini juga melancarkan panduan ringkas undang-undang untuk
tatapan dan panduan kepada para peserta Bersih 4.0 khususnya berkaitan
hak-hak peserta sekiranya ditahan oleh pihak Polis.
Panduan ringkas ini
akan diviralkan melalui media-media baru seperti Facebook, Twitter,
Whatsapp dan lain-lain untuk kemudahan orang ramai.
Bagi
mendapatkan maklumat lanjut atau sekiranya terdapat sebarang
pertanyaan berkaitan ProGuam, Bersih 4.0 atau lain-lain hal yang
berkaitan perundangan, orang ramai boleh layari laman facebook Proguam
iaitu di https://www.facebook.com/proguam
Bersih 4.0 Bergiat Secara Tidak Sah?
Ketua
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim melalui
kenyataannya sepertimana yang disiarkan di Berita Harian pada 25 Ogos
baru-baru ini telah menyatakan bahawa Bersih 4.0 telah bergiat secara
tidak sah.
ProGuam ingin menegaskan bahawa Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai, 2012 telah pun membuat keputusan
mengenepikan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri bahawa Bersih adalah
pertubuhan haram. Malah, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak pun
dirayu dan masih kekal hingga kini. [Sila rujuk kes Dato’ Ambiga
Sreenevasan & Ors v Menteri Dalam Negeri & Ors; Semakan
Kehakiman No: R2-25-165-2011].
Justeru, ProGuam
menegaskan bahawa kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
di atas adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut
serta boleh mengundang rasa kebimbangan yang tidak berasas kepada
masyarakat. ProGuam percaya kenyataan ini lebih kepada ingin
menakut-nakutkan rakyat daripada hadir menyertai perhimpunan aman
terbabit.
Seharusnya, pihak berkuasa seperti KDN dan
PDRM sama-sama berganding bahu bagi memastikan perjalanan Bersih 4.0
tersebut berjalan dengan aman dan tanpa sebarang provokasi. Secara
tidak langsung, ia boleh memartabatkan imej Negara sebagai Negara yang
mendaulatkan hak-hak demokrasi dan hak-hak asasi di bawah Perlembagaan
Persekutuan.
Oleh itu, ProGuam ingin menyeru kepada
rakyat Malaysia untuk tidak berasa takut selagimana hak-hak anda
dijamin oleh undang-undang.
NOORAZMIR ZAKARIA
PRESIDEN PROGUAM
PRESIDEN PROGUAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan