Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir menyelar pemimpin
Pakatan Harapan (PH) yang bertindak sebagai 'sumber' dan mendedahkan
kepada media mengenai cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai
perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan
perdana menteri bagi gabungan itu.
Mohd Anuar berkata, pemimpin yang berkenaan tidak wajar melangkaui
pemimpin atasan dengan memberi kenyataan apatah lagi melibatkan perkara
penting dan besar.
"Tak ada lagi (pemberitahuan mengenai cadangan). Jadi saya tak tahu apa
tujuan orang-orang ini pergi kepada media sedangkan belum ada keputusan
muktamad. Susahlah. Ini semua nak bagi bergaduh saja.
"Belum dibawa ke Majlis Presiden pun lagi, malah belum dibawa ke
peringkat parti masing-masing lagi. Tak berani saya komen," katanya
kepada Antarapos.
Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata beliau sendiri enggan mendahului
Presidennya, Mohamad Sabu, meskipun dirinya turut menghadiri pemukiman
pemimpin kanan PH selama dua hari di Putrajaya, majlis di mana cadangan
itu dibuat.
Beliau berpendapat, cadangan itu perlu dibawa ke Majlis Presiden PH
terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan keempat-empat parti
komponen.
"Apa-apa pun kena pimpinan utama yang menyatakan perkara besar dan penting," katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan gabungan yang terdiri daripada empat parti
itu secara rasminya mencadangkan Dr Mahathir sebagai calon perdana
menteri, manakala Wan Azizah sebagai timbalannya.
Cadangan itu dilakukan ketika pemimpin kanan PH mengadakan pemukiman dua hari di Putrajaya mulai Jumaat lalu.
Bagaimanapun, cadangan itu telah mendapat bantahan Naib Presiden PKR,
Tian Chua yang berpendapat, perkara yang penting seperti itu sepatutnya
tidak dibuat segelintir pihak dan menyarankan ia dibincangkan dengan
lebih lanjut di peringkat parti gabungan lain, katanya dipetik mStar.
Pemilihan kedua-dua pemimpin itu dikatakan dipersetujui lima pemimpin
tertinggi PH, iaitu Dr Mahathir dan Wan Azizah sendiri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamed Sabu.
Bagaimanapun, Wan Azizah berkata, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kepimpinan PKR.
Mesyuarat mingguan biro politik PKR dijangka diadakan pada esok.
Sementara itu, ahli Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul yang dipetik
Malaysiakini pula mengesahkan, cadangan itu hanya menunggu kelulusan
Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan