KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah
campur tangan dalam tindakan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia
(SPRM).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menegaskan beliau tidak
pernah diarahkan oleh perdana menteri untuk mengambil atau tidak
mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak.
Kata beliau, sebaliknya perdana menteri membiarkan SPRM berfungsi
secara bebas tanpa kongkongan dan berharap rakyat tidak mudah
mempolitikkan sebarang tindakan yang diambil oleh SPRM.
“Terlalu banyak isu-isu negara semuanya dipolitikkan. Tidak pernah sama
sekali Perdana Menteri memberi apa-apa arahan untuk mengambil tindakan
atau tidak mengambil tindakan terhadap sesiapa.
“Beliau beri kebebasan sepenuhnya kepada SPRM. Inilah realitinya,” kata Dzulkifli.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel sesi bertajuk Sesi
Rasional Memerangi Rasuah pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi
Baharu yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2017 di sini hari
ini.
Dzulkifli pada masa sama berkata, beliau optimis kedudukan Malaysia
pada kedudukan ke-55 mengikut Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan
oleh Transparency International mampu ditambah baik berdasarkan pelbagai
inisiatif yang dilancarkan oleh SPRM dalam tempoh setahun yang lalu.
Malah ujarnya, indeks tersebut merupakan rekod yang berakhir pada Ogos
2016 yang dilakukan oleh agensi luar negara dan bukannya persepsi rakyat
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan