KUALA LUMPUR: Amanah tidak akan menyertai Himpunan Solidariti dalam
memperjuangkan nasib rakyat Baitulmaqdis di Palestin di Masjid Putra
pada 22 Disember ini.
Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata ini kerana pihaknya tidak
menerima apa-apa jemputan rasmi untuk menyertai perhimpunan ini.
"Kalau betul-betul serius, panggillah pemimpin kami, (Pakatan Harapan) bermesyuarat mengenai perkara ini.
"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang bentuk jemputan," kata Salahuddin.
Walaupun Amanah tidak akan menghadiri perhimpunan tersebut, Salahuddin
menyatakan bahawa pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada perjuangan
rakyat Palestin.
"Dalam hal ini, (isu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel) kami komited mempertahankan rakyat Palestin.
"Malah, sejak dari mula isu ini timbul, kami sudah menghantar
memorandum dan mengemukakan bantahan berhubung perkara ini," tegas
Salahuddin dalam satu sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur
hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menyeru kesemua pemimpin dari mana-mana parti politik menyertai
Perhimpunan Solidariti dalam memperjuangkan nasib rakyat Baitulmaqdis di
Palestin.
Menurut beliau, perbezaan agama serta fahaman politik harus diketepikan
pembangkang dalam memperjuangkan isu ini demi mempromosikan keamanan
bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan