IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata negeri
itu berdepan masalah kecetekan sungai yang kritikal khususnya di Sungai
Perak yang merupakan sumber bekalan air negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan persekutuan dapat membantu
kerajaan negeri mengatasi masalah tersebut termasuk melakukan pendalaman
sungai.
“Ini kerana jika kerja-kerja untuk mendalamkan sungai tidak
dilaksanakan dengan segera tidak mustahil beberapa sungai di negeri ini
akan 'hilang',” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam
Persidangan Tahunan Jawatankuasa Tindakan Jurutera Air Daerah
Se-Malaysia ke-30 di sini, malam tadi.
Persidangan selama tiga hari itu yang bermula semalam disertai 141
delegasi daripada Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air;
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara; Pengurusan Aset Air Berhad serta
syarikat bekalan air dari Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Air Perak Datuk Ir Mohd Yusof
Mohd Isa berkata isu yang sering dihadapi oleh semua operator ialah
pembiayaan bagi membangunkan infrastruktur air termasuk penggantian paip
melebihi jangka hayat.
Katanya ia merupakan satu daripada faktor menyebabkan masalah kadar
kehilangan air tak berhasil (NRW) di negara ini berada pada tahap yang
tinggi iaitu kira-kira 36 peratus.
“Paip lama ini terutama dari jenis simen asbestos (AC) menyebabkan
kadar kebocoran fizikal yang tinggi melebihi 75 peratus. Sebanyak 42,000
kilometer atau 25 peratus paip AC yang melebihi jangka hayat ketika ini
di seluruh negara,” katanya.
Mengenai persidangan itu, Mohd Yusof berkata ia merupakan platform bagi
membincangkan isu semasa dan menyuarakan cadangan untuk melestarikan
industri air selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan