Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar & Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Pelakon Fathia Latiff sekali lagi dikritik di Persidangan
Agung Umno 2017 hari ini apabila dikatakan tidak memahami perbezaan
antara gaya hidup dan kos sara hidup.
Menurut Exco Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar, kerana salah
fahaman berkenaan dua perkara itulah menyebabkan pelakon kontroversi itu
mensasarkan kerajaan kononnya kos sara hidup yang semakin membebankan
rakyat.
Selain Fathia, penyanyi jazz Datuk Sheila Majid juga bertindak
meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan ekonomi semasa yang
disifatkannya sebagai menyusahkan rakyat.
“Kalau kita bercakap berkenaan kos sara hidup, ia sebenarnya antara
sara hidup atau gaya hidup. Ada segelintir kita hanya pandai tweet
dengan gaya hidup.
“Konsert yang tiketnya berharga RM888 bukan keperluan. Ini gaya hidup.
Bermain telefon dengan aplikasi Bigo juga bukan keperluan sara hidup.
Ianya gaya hidup. Selebriti ini menggunakan aplikasi (Twitter) untuk
hentam pemimpin.
“Mereka tak faham cara hidup, yang mereka cakap adalah gaya hidup,”
katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Persidangan
Agung Umno kali ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.
Sehubungan itu sayap Umno itu mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan
Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi mencari solusi menangani
keperluan rakyat.
Malah majlis itu juga, menurut Jamawi penting untuk membanteras pihak yang cuba mensabotaj ekonomi dan pembangunan negara.
Fathia sebelum ini kerap kali mengkritik kerajaan, bermula dengan
mempersoalkan tindakan menyiasat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad berhubung kerugian mata wang asing (forex) yang dialami Bank
Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an.
Dua hari lalu, pengarah Dira Abu Zahar yang juga Exco Puteri Umno
menggunakan pentas PAU2017 ‘membalas’ serangan Fathia dengan meminta
rakyat tidak mudah percaya dengan dakyah yang dibawa pelakon itu.
Malah Dira juga berkata Fathia tidak memahami langsung tentang kerajaan dan menasihatinya untuk memperbetulkan mutu lakonannya.
Sheila pula menjadi artis kedua yang dilihat meluahkan kritikan di
media sosial berkenaan keadaan semasa negara sehingga menerima respon
daripada pelbagai pihak termasuk Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor
iaitu Datuk Rizal Mansor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan