HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Disember 2017

Hanya yang pergi saja tahu mengenai cadangan Tun M, Wan Azizah sebagai PM dan TPM - Shaharuddin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin enggan mengulas mengenai wujud cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri Pakatan Harapan (PH), sehingga perkara itu dibincangkan di peringkat parti kelak. 
 
"Masih belum dibincangkan biropol (biro politik). Ia (permukiman) baru habis pada Sabtu, mesyuarat biro politik mungkin esok (Selasa)," katanya kepada Antarapos.
 
Shaharuddin berkata beliau tidak wajar memberikan ulasan lanjut berikutan cadangan itu masih belum dibincangkan kepimpinan tertinggi PKR selain dirinya tidak menghadiri pemukiman pemimpin kanan PH selama dua hari di Putrajaya, bermula Jumaat lalu.
  
"Yang tahu, yang pergi (pemukiman) saja. Yang tak pergi, tak tahu," kata Shaharuddin.   
 
Tambah beliau, apa yang dilaporkan media hanyalah tidak lebih daripada cadangan, kerana ia masih belum diputuskan secara muktamad. 
 
"Itu cadangan. Belum putuskan lagi.
 
"Wallahualam... saya pun tak tahu apa 'wording' (mengenai cadangan tersebut)," ujarnya lagi. 
 
Terdahulu media melaporkan gabungan yang terdiri daripada empat parti itu secara rasminya mencadangkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, manakala Wan Azizah  sebagai timbalannya.
 
Bagaimanapun, cadangan itu telah mendapat bantahan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang berpendapat, perkara yang penting seperti itu sepatutnya tidak dibuat segelintir pihak dan menyarankan ia dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat parti gabungan lain, katanya dipetik mStar.
 
Pemilihan kedua-dua pemimpin itu dikatakan dipersetujui lima pemimpin tertinggi PH, iaitu Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamed Sabu.
 
Bagaimanapun, Wan Azizah berkata, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kepimpinan PKR.
 
Sementara itu, ahli Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul yang dipetik Malaysiakini pula mengesahkan, cadangan itu hanya menunggu kelulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PH.
 
 

Tiada ulasan: