HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Disember 2017

Usaha tabalkan Tun Mahathir dan Azizah sebagai calon PM dan TPM akan gagal - penganalisis

Oleh Zeanaaima Md Yusof
Post Pic
 
SHAH ALAM: Cadangan menabalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) akan gagal disebabkan berbeza idealogi politik.
 
Penganalisis politik, Prof Dr Ramlah Adam berkata PH tidak dapat menafikan hakikat bahawa masih terdapat pemimpin dari empat parti komponen dalam gagasan yang belum menerima kehadiran Dr Mahathir. 
 
"Secara dasarnya mereka ini memang parti yang berasing-asing. Minat, agenda, perjalanan cara ditubuhkan dan kepimpinan mereka tiada kekuatan yang jelas.   
 
"Sebab itu bagi saya mereka tetap akan bergolak untuk menerima Dr Mahathir atau tidak," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Sebuah portal hari ini melaporkan PH secara rasminya mencadangkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
 
Pemilihan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dipersetujui lima pemimpin tertinggi PH ketika gagasan itu mengadakan pemukiman selama dua hari di Putrajaya.
 
Pemimpin terbabit adalah, Dr Mahathir dan Azizah sendiri, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamed Sabu.
 
Bagaimanapun portal itu melaporkan cadangan itu mendapat bantahan daripada pemimpin parti tertentu.
 
Azizah juga dilaporkan berkata perlu membincangkan keputusan itu dengan kepimpinan PKR terlebih dahulu sebelum menyatakan pendiriannya berkenaan cadangan tersebut.
 
Mengulas lanjut, Ramlah berkata sukar untuk Azizah menerima Dr Matahir selepas apa yang mantan presiden Umno itu lakukan terhadap suaminya yang juga bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Saya rasa Azizah berbolak-balik. Mungkin dalam mesyuarat (permukiman) dia diam sahaja. Tapi bila ditanya semual, Azizah kata dia kena rujuk pada kepimpinan PKR dulu. 
 
"Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri memang beliau ada kekuatan sendiri tapi beliau banyak ambil tindakan politik pada PKR. Anwar Ibrahim di buang daripada Umno, dimasukkan pula dalam penjara.
 
"Takkan Anwar Ibrahim dan Azizah boleh lupakan perkara itu begitu sahaja? Dan nak melantik dia sebagai perdana menteri?," katanya.

Tiada ulasan: