HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Disember 2017

Kebocoran Data Peribadi: Alamat IP terlibat dikesan di dua lagi negara

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dua lagi alamat Protokol Internet (IP) masing-masing di Belanda dan Hong Kong dalam usahanya mencari punca kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
 
Penemuan terbaru ini menjadikan jumlah alamat IP yang terlibat dalam kes ini sebanyak tiga, dengan yang pertama dikenal pasti di Oman pada bulan lepas.
 
"Sekarang polis sedang berusaha lengkapkan siasatan dan mengalami kesukaran untuk kesan e-mel (pemilik)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Tenis dan Silat Piala Ketua Polis Negara 2017 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, Ahad.
 
IP adalah urutan nombor unik yang diperuntukan bagi setiap peranti yang disambungkan kepada rangkaian komputer. Alamat IP ini merupakan kod identiti dan ia membolehkan komputer menerima dan menghantar data melalui rangkaian komunikasi.
 
Ditanya adakah polis akan meminta bantuan pihak berkuasa negara lain, beliau berkata buat masa ini ianya tidak perlu.
 
"Buat masa ini siasatan sedang dilakukan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya,
 
Pada 1 Nov lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilaporkan berkata pihaknya telah mengenal pasti sumber yang mungkin menjadi punca kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini.
 
Salleh berkata siasatan sedang dilakukan MCMC dengan kerjasama polis agar tindakan segera dapat diambil untuk menyelesaikan isu itu.
 
Pada awal Nov, laman Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kecurian data berkaitan maklumat peribadi besar-besaran untuk dijual, melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.
 
 

Tiada ulasan: