Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Mustahil mantan menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berjaya
menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, sekalipun
berganding bahu bersama Umno dan PAS.
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata demikian mengulas berkenaan
kesediaan Khalid membantu Umno dan PAS merampas kembali Selangor yang
kini dibawah pentadbiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Mohamed
Ali.
"Untuk jatuhkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor ini. Well you can try. Ianya sukar.
"Apa pun saya ucapkan tahniah kalau sekiranya Tan Sri mengambil jalan itu," katanya kepada Antarapos hari ini.
Johari yang juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata
walau bagaimanapun, Khalid perlu bersedia untuk menanggung apa jua
risiko disebalik pilihannya untuk menyokong dua parti berkenaan.
"Itu pilihan Tan Sri, fikir dahulu. Jangan terburu-buru. Sekali lagi
saya katakan ini negara demokrasi, beliau boleh menyebelahi dan
menyokong mana-mana pihak. Namun Tan Sri perlu juga menanggung risiko.
"Dalam keadaan dipenghujung hayat kita ini, kita hendaklah diingati
sebagai manusia yang baik tetapi serangan yang akan datang ini sesuatu
yang amat luar biasa. Saya tidak ada komen apa-apa selain ucapkan
selamat kepada Tan Sri. Itu sahaja," tambahnya.
Khalid yang pernah meneraju pentadbiran negeri Selangor selama 6 tahun
itu, semalam menyatakan mahu membantu Umno dan PAS merebut kembali
negeri berkenaan.
Beliau berkata, menerusi pendekatan sokongan kepada kedua-dua parti
itu, ianya lebih berkesan berbanding menyokong PH yang hanya melaungkan
retorik semata-mata
Sebelum ini, Khalid berkali-kali menyatakan, beliau akan berkempen
dengan PAS dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang,
namun memutuskan tidak akan pertahankan kerusinya.
Untuk rekod, Khalid sebelum ini menjadi ahli Umno selama hampir 30 tahun sebelum menyertai PKR pada 2006.
Beliau dilantik menjadi menteri besar Selangor yang pertama daripada
PKR susulan kemenangan gabungan pembangkang , Pakatan Rakyat (PR) PAS,
PKR dan DAP yang dianggotai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
Bagaimanapun krisis dalaman PKR susulan idea Langkah Kajang, yang
bertujuan menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar,
menyebabkan Khalid terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas dipecat
PKR pada 2014.
Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak kini bergelar wakil rakyat Bebas.
Sungguhpun kelihatan akrab dengan PAS mutakhir ini, dan desas desus
mengatakan beliau bakal menyertai PAS, namun Khalid mengesahkan beliau
tidak menyertai parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan