HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Disember 2017

Mahfuz dakwa Nazri jadi ‘kambing hitam’ isu IMAMS

Shawaliah Hadir
KUALA LUMPUR – Seperti biasa walaupun sesuatu isu sudah selesai namun pembangkang masih mahu menjadikannya modal termasuk isu Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Dalam hal itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada muslihat dan cuba menjadi hero selepas sistem berkaitan ibadat umrah itu dibatalkan serta merta.

“Apa muslihat Najib mengatakan yang dia tidak bersetuju. Kenapa setelah perkara ini menjadi kecoh baru kata tak setuju. Kenapa dari awal PM Najib tak kata tak setuju?

“Oleh sebab itu Najib cuba tampil sebagai ‘hero’ kononnya beliau tidak bersetuju IMAMS yang mana beliau sendiri setuju daripada awal?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz seterusnya mendakwa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan pegawai tinggi di kementerian itu dikambinghitamkan.

Selain itu, Mahfuz menegaskan kerajaan sepatutnya membuat pemantauan dan kajian terlebih dahulu tentang sistem tersebut sebelum ianya dilaksanakan agar tidak memberikan kesan buruk kepada jemaah Umrah.

“Persoalannya, kenapa kerajaan tidak mengkaji dengan lebih mendalam tentang keberkesanan penggunaan sistem IMAMS yang mana ianya akan menekan jemaah Umrah untuk sebuah syarikat yang mengendalikan sistem IMAMS boleh mengambil peluang mengumpul kekayaan berjuta ringgit,” ujarnya. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: