MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Ahad, 17 Disember 2017
Pakar ortopedik tegur ejen insuran
MALAYSIA GAZETTE
Posting di Facebook oleh seorang ejen insuran yang telah dipadamkan.
KUALA LUMPUR
Seorang pakar ortopedik menegur ejen insuran
supaya lebih bertanggungjawab dan bersikap profesional dalam
mempromosikan produk mereka tanpa perlu memperlekehkan perkhidmatan di
hospital-hospital kerajaan.
Dr Mahyuddin Mohamed dalam postingnya di laman sosial Facebook kesal
kerana ada ejen insuran yang menggembar-gemburkan fakta yang tidak betul
secara membuta-tuli dan melakukan strategi menakut-nakutkan orang
ramai.
Mengakui secara peribadi beliau sendiri berpendapat setiap individu
di Malaysia kini perlu dilindungi dengan insuran/medical card berikutan
kos perubatan yang meningkat namun tidak bermakna ejen insuran boleh
‘menjual’ fakta yang tidak betul untuk menarik pelanggan.
Beliau merujuk kepada satu posting di Facebook oleh seorang ejen
insuran mengenai rawatan bagi seseorang yang kemalangan dan mengalami
kepatahan pada tulang paha.
Dengan rasa kesal Dr. Mahyuddin mengulas satu persatu fakta yang
tidak benar dipaparkan oleh ejen insuran berkenaan berdasarkan
pengalamannya yang pernah berkhidmat di hospital swasta dan kerajaan.
Berikut penjelasan Dr. Mahyuddin. Dr Mahyuddin Mohamed3 BULAN UNTUK OPERATE TULANG PATAH?
Saya dimaklumkan dengan post Facebook oleh seorang ejen insuran yang
menyertakan gambar xray tulang peha yang patah dan kenyataan berbunyi:
Hospital Kerajaan – mengambil 3 bulan baru boleh operation kerana ramai waiting list dan perlu sediakan RM7000 untuk kos besi.
Hospital Swasta – secepat mungkin tetapi kos operation 20 ribu &
perlukan 16 ribu sebagai deposit jika tidak mempunyai medical card.
Saya merawat pesakit di Hospital Kerajaan dan Hospital Swasta dan kedua-dua kenyataan di atas adalah TIDAK TEPAT.
Saya akan komen berkenaan Hospital Kerajaan secara terperinci kerana
saya kini bertugas di Hospital Kerajaan dan status ini adalah satu
PENIPUAN yang nyata. Ia MENFITNAH kami, MENCALAR IMEJ & PERKHIDMATAN
Kementerian Kesihatan Malaysia dan MEMBURUKKAN KERAJAAN MALAYSIA.
Kepatahan tulang peha (fracture femur) bagi pesakit dewasa perlu
dirawat secara pembedahan dan memasukkan besi bagi mengelakkan kaki
menjadi pendek. Ia tidak boleh dirawat dengan simen.
Apatah lagi jika
anda mahu urut, balut atau ketuk. Memang pendek la jawabnya.
Pembedahan 3 Bulan?
Pembedahan tidak pernah ambil masa 3 bulan untuk di bedah. Bagi
kes-kes closed fracture (tiada luka yang menembusi ke tulang yang patah)
Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai KPI (Key Performance
Indicator) iaitu dibedah dalam tempoh 7 hari (lihat gambar).
Paling lama tempoh menunggu yang saya pernah lihat adalah 2 minggu
itu pun adalah kerana faktor-faktor tidak dapat dielakkan. Ada masanya
pembedahan terpaksa dilewatkan kerana keadaan pesakit tidak stabil dan
membenarkan seperti jangkitan kuman, keadaan kulit atau tisu yang teruk,
demam dan kecederaan organ lain (otak, usus, hati, limpa). Pembedahan
dilewatkan bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Nyawa sentiasa lebih
penting dari kaki atau tangan.
Jika Open fracture dimana ada luka yang bersambung ke kepatahan,
pembedahan akan dibuat secepat mungkin, biasanya kurang daripada 24 jam
bergantung kepada situasi bilik bedah.
Besi 7 ribu?
Harga besi atau implan bagi kepatahan femur seperti dalam xray TIDAK
PERNAH SAMPAI 7 ribu. TIADA IMPLAN FEMUR SHAFT FRACTURE BERHARGA 7 RIBU
SEPANJANG PERKHIDMATAN SAYA SEBAGAI PAKAR ORTOPEDIK.
2 jenis implan yang biasa digunakan bagi kepatahan jenis ini adalah
Interlocking Nail (ILN: besi yang dimasukkan dalam tulang) dan Plate
(besi yang diletak di atas tulang). (Sila lihat gambar nail & plate)
Harga ILN adalah dalam lingkungan RM1000-1300 manakala plate
stainless steel pula diperuntukkan secara percuma kepada pesakit. Jadi
plate adalah PERCUMA tuan-tuan! (PERCUMA kerana kerajaan kita bermurah
hati membayar harga implan ini). Plate stainless steel ini PERCUMA bagi
warganegara, pelajar sekolah & rakyat Malaysia yang tiada insuran.
Ada juga plate khas yang kami sebut sebagai Locking plate jenis
Titanium yang perlu digunakan bagi jenis kepatahan tertentu. Namun
kosnya TIDAK PERNAH mencecah 7 ribu.
KESIMPULAN
Secara peribadi, saya sendiri berpendapat setiap individu di Malaysia
kini perlu dilindungi dengan insuran/medical card berikutan kos
perubatan yang meningkat.
Medical card akan membolehkan anda mendapat rawatan di hospital
swasta, yang kebiasaannya akan lebih cepat kerana pesakit tidak seramai
hospital kerajaan.
Namun, ejen insuran perlu professional, melengkapkan diri dengan info
yang betul dan memberikan fakta yang tepat kepada bakal pelanggan.
Strategi menakut-nakutkan atau memberi fakta secara membuta-tuli
sebegini adalah amat tidak bertanggungjawab. Jaga keberkatan rezeki
anda. #DrMahyuddin
Pakar Ortopedik
Sementara itu, menerusi ruang komen, rata-rata termasuk kalangan ejen
insuran bersetuju dengan teguran Dr. Mahyuddin. Mereka berpendapat,
fakta yang dipaparkan oleh ejen insuran berkenaan adalah keterlaluan dan
boleh mengelirukan orang ramai.
Ada juga ejen insuran yang berterima kasih kepada Dr. Mahyuddin
kerana memberi penjelasan panjang lebar yang menjadi ilmu buat mereka. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan