KOTA BHARU: PAS menjangkakan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan
menghancurkan negara sekiranya beliau diangkat semula menjadi Perdana
Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14).
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian
ekoran kepada beberapa peristiwa yang tidak baik berlaku ketika era
pentadbiran bekas Perdana Menteri itu seperti tragedi Memali; krisis
raja-raja Melayu; isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelbagai
lagi perkara lain.
Malah katanya, disebabkan Pengerusi PH itu, kerajaan pada masa kini
terpaksa membersihkan pelbagai 'penyakit' yang berpunca ketika zaman Dr.
Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
"Saya tidak nampak apa relevannya untuk memberikan semula kepercayaan
kepada Dr. Mahathir yang dijangka kembali menghancurkan negara.
"Jadi, Dr. Mahathir wajib ditolak dan rakyat boleh memberi kepercayaan
kepada PAS yang mengamalkan budaya politik matang untuk meneraju
negara," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS negeri berkata,
langkah PH menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri
membuktikan gabungan tersebut tidak mempunyai tokoh yang boleh dijadikan
sebagai rujukan.
"Orang seperti Dr. Mahathir ini boleh berubah pada bila-bila masa dan
sering melakukan 'U-turn'. Ini termasuk pendirian terbarunya yang mahu
Anwar dibebaskan daripada penjara sedangkan beliau sebenarnya yang
bertanggungjawab menyingkirkan Anwar dahulu," katanya dipetik Utusan
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan