SHAH ALAM: Suspek orang kelainan upaya
(OKU) yang disyaki membunuh empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Rabu
lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner
Fadzil Ahmad, berkata tertuduh berusia 38 tahun itu bakal berdepan lima
pertuduhan.
"Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Dia juga berdepan pertuduhan mendatangkan kecederaan yang didakwa
mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di
sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan
Tukiman, berkata teman wanita suspek terbabit yang juga anak bongsu
pasangan warga emas mangsa tidak terbabit dalam kejadian itu.
"Wanita OKU berusia 30 tahun itu juga tidak mengetahui tindakan teman
lelakinya membunuh ibu bapa serta dua anak saudaranya," katanya dipetik
BH Online.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Rabu lalu, empat sekeluarga
membabitkan dua warga emas dan dua kanak-kanak lelaki maut dipercayai
dibunuh dan dibakar.
Lim Mai Shak, 68; Chia Tee Nang, 73; dan dua cucu mereka iaitu Chia
Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga tahun dan 10
tahun meninggal dunia dalam kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan