Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersetuju dengan usaha
kerajaan untuk mewujudkan satu sistem yang mampu mengurangkan kes
penipuan umrah di negara ini, namun ia perlulah dilaksanakan dengan
mekanisme yang betul dan tepat.
Timbalan Presidennya Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan perlu meneliti
secara terperinci tentang sistem yang ingin digunakan sebelum diumumkan
kepada rakyat agar tidak berlaku kekeliruan seperti apa yang terjadi
pada sistem 'Integrated Manasik Monitoring System' (IMAMS) yang menerima
bantahan ramai pihak sehingga ia ditarik balik selepas 24 jam diumumkan
pelaksanaannya.
Malah menurut Aminuddin, lebih baik sekiranya selepas ini, perkara yang
berhubung-kait dengan ibadah umrah diuruskan oleh pihak agensi kerajaan
sahaja, dan tidak melibatkan mana-mana syarikat persendirian yang
sekadar mahukan keuntungan semata-mata.
"Bagi pihak NGO, kita sangat setuju, ia bagus tapi mekanismenya yang tidak betul.
"Kita lagi bersetuju sekiranya agensi kerajaan sendiri yang memantau
perkara ini sama ada bahagian kementerian pelancongan, atau tabung haji
sendiri, maknanya orang yang tidak ada 'profit-orientation'.
"Bila kita serahkan kepada 'profit-oriented company', ia akan cenderung
kepada keuntungan sahaja, jadi ini satu benda yang sangat
mendukacitakan.
"Sebab penipuan ini (umrah) sudah banyak sangat berlaku, jadi perlu
pemantauan secara khusus, mungkin sistem ini boleh digunakan, tetapi
bukan oleh syarikat tetapi dari agensi kerajaan sendiri," katanya ketika
dihubungi Antarapos.
Sabtu lalu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Timbalan
Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memperkenalkan sistem IMAMS
yang bertujuan menguruskan jemaah umrah dengan lebih baik, mengukuhkan
sistem kawal selia dan membanteras aktiviti penipuan.
Namun, sistem itu dibatalkan sehari selepas ia dilaksanakan, susulan
bantahan daripada pemain industri, pembangkang dan parti kerajaan
sendiri.
Menerusi sistem berkenaan, jemaah akan dikenakan caj tambahan RM90.10
yang meliputi bayaran RM5.10 untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),
RM40 bagi insurans dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS.
Mengulas lanjut, Aminuddin dalam pada itu tidak bersetuju sekiranya
cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas jemaah yang mahu
menunaikan ibadah umrah.
Katanya, cukai tersebut tidak wajar diwujudkan kepada para jemaah umrah
mmemandangkan rata-rata mereka yang mahu menunaikan ibadah suci itu
hanya pergi sekali seumur hidup malah ada yang datang daripada kelompok
orang kurang berkemampuan.
"Kita rasa elemen GST juga tidak perlu digunakapai, sebab mereka yang
pergi ini bukan untuk berniaga, mereka cuma pergi untuk beribadah, kita
tidak perlu ambil keuntungan daripada situ, sebab orang yang pergi
(umrah) itu ada yang tidak banyak duit, mungkin nak pergi umrah sekali
seumur hidup, kemudian perlu bayar GST lagi, jadi saya rasa itu tidak
wajar," jelasnya lagi.
Sistem IMAMS menjadi bualan umum memandangkan wujud caj tambahan yang
turut melibatkan pembayaran GST di dalamnya, selain persoalan tentang
kedudukan mereka yang bukan Islam yang terlibat dalam mengurus tentang
perihal ibadat umrah umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan