KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa mana-mana
persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dan tidak melakukan aktiviti
yang melangkaui perlembagaan pertubuhan berkenaan atau melanggar
undang-undang sedia ada akan dibatalkan penubuhannya oleh Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata tindakan yang dilakukan RoS itu bertujuan bagi memastikan semua
pertubuhan bergerak selaras dengan objektif penubuhan serta
perlembagaan.
"Antara tugas RoS ialah menjalankan saringan yang teliti semasa
peringkat pemprosesan pendaftaran pertubuhan. Semua persatuan dan
pertubuhan tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.
"Justeru, sekiranya terdapat aduan terhadap pertubuhan yang tidak
mengikut perlembagaan pertubuhan, maka RoS akan melakukan penyiasatan
dan mengambil tindakan pembatalan di bawah Seksyen 13 di bawah Akta
Pertubuhan 1966 (Akta 335)," katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Khairul Azwan Harun mengenai langkah
lebih berkesan oleh agensi perundangan untuk mengambil tindakan terhadap
persatuan seperti persatuan pengguna yang menjangkau batas perundangan
yang dibenarkan.
Zahid berkata terdapat 262 buah persatuan pengguna yang telah
didaftarkan di bawah RoS sehingga 15 Dis lepas, daripada jumlah itu
sebanyak 158 persatuan adalah aktif manakala 104 persatuan pengguna
dibatalkan.
Sehubungan itu, beliau berkata mesyuarat penyelarasan peringkat
tertinggi akan diadakan pada waktu terdekat ini yang akan dipengerusikan
beliau sendiri, bagi menyelaras semua pertubuhan termasuk pertubuhan
bukan kerajaan (NGO).
“Fokus utama mesyuarat ini adalah untuk menyelaraskan semua NGO yang
berdaftar melalui RoS di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah
Kementerian Belia dan Sukan.
“Langkah penyelarasan ini perlu dilakukan segera bagi memantau NGO
berkenaan dan sebagai jalan penyelesaian dalam menangani masalah dalam
pertubuhan tersebut”.
Zahid berkata penyelarasan itu harus dilaksanakan berikutan wujudnya
beberapa NGO kononnya memperjuangkan sesuatu isu tetapi sebaliknya
menjadi kumpulan pendesak yang tidak mengikut akta pertubuhan
masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan